Tuesday, December 11, 2012

Paksi keadilan : Aku benar-benar tidak paham..........

Aku takkan sebut apa-apa yang spesifik dalam entry kali ini cuma sekadar luahan perasaan apa yang berlaku dua hari yang lepas. Bukan berniat untuk mengguris perasaan mana-mana pihak apatah lagi yang berkuasa di luar sana tetapi apa yang berlaku membuka mata sejauh mana proses keadilan di negara ini. Masakan aku diberikan gambaran 'kekalahan' sebelum berperang dan betapa aku perlu takut untuk berdepan dengan syarikat milik parti politik pemerintah sedangkan proses keadilan perbicaraan belum bermula dan apakah dia cuba untuk memberi mesej bahawa dia perlu menjaga periuk nasi beliau sehingga sanggup mengenepikan soal keadilan yang menjadi teras kerjayanya selama ini? Apakah aku tidak tahu atau belum cukup sedar bahawa semasa dalam kesatuan dahulu aku berdepan dengan syarikat yang dikuasai oleh parti politik pemerintah sehingga dia perlu mengingatkan aku bahawa 'lawan' aku di persada keadilan itu adalah mereka-mereka yang paling berkuasa di bumi bertuah Malaysia ini?
Apakah aku tidak sedar bahawa tindakan aku dahulu dalam perjuangan atas platform kesatuan akan menyebabkan aku hilang pekerjaan, menerima kesan sara hidup keluarga dan perkara ini akan dibawa ke medan keadilan untuk dihakimi oleh mereka-mereka yang dilantik oleh mereka-mereka yang berkuasa? Dan yang lebih penting, apakah aku ini cukup bacul untuk menerima tawaran yang sangat-sangat menghina dan meletakkan maruah diri dan kesatuan di tahap terendah dengan terpaksa melutut, menyembah hanya kerana kertas yang tak seberapa itu? Aku juga cukup tidak faham dengan tindakannya yang cukup 'rela', 'teruja' dan 'senang hati' menerima permintaan aku untuk menukar dia kepada orang lain untuk menjadi paksi keadilan walaupun pada mulanya aku takut jika permintaan aku ini bakal mengguris perasaan beliau memandangkan dia memegang kuasa itu? Menurut seorang kawan yang biasa dalam bidang ini, tindakan dia ini adalah asam garam dalam bidang itu. Apakah dia yang sepatutnya menjaga soal keadilan di negara ini tidak takut pada Allah/Tuhan demi mahu menjaga periuk nasi agar terus bertambah dengan kenaikan pangkat.
Dalam berdepan situasi ini, aku cukup menghargai panggilan, sms dan sokongan moral kesatuan yang aku anggotai dan kawan-kawan dengan bukan setakat mempunyai aspirasi yang sama dengan aku dalam hal-hal sebegini, malah turut menghulurkan kesanggupan untuk bersama aku hingga ke garisan penamat. Dah malas nak berharap, akan cuba terus kuatkan semangat dan berdoa agar beliau yang dilantik selepas ini bukan seorang yang PENGECUT lagi PENAKUT untuk mendengar hujah dan membuat keputusan atas paksi keadilan, bukan atas kekuasaan yang diberikan untuk membodek atau membuat keputusan yang menyebelahi pihak yang melantiknya. Hanya masa yang akan menentukan, insyaAllah.................

Saturday, December 8, 2012

Kes lawan Utusan : Debaran Isnin & Selasa ini.......

Masuk bulan ini, genaplah 3 tahun 3 bulan saya dibuang kerja dari Utusan Melayu (M) Bhd setelah didapati 'bersalah' menfitnah syarikat menerusi artikel di portal Malaysiakini dan Harakahdaily yang berkisar mengenai tindakan NUJ dengan saya sebagai pengerusi kesatuan itu, membuat laporan kepada SPRM pada tahun 2009. Saya kena buang kerja tapi pelik sebab Utusan tak nak pulak saman dua portal tersebut sebab 'fitnah' akhbar itu. Seterusnya, saya mengangkat tindakan yang kejam lagi zalim yang diambil oleh bekas majikan saya itu ke perhatian Jabatan Perhubungan Industri yang kemudiannya mendapat perkenan oleh Menteri Sumber Manusia untuk membiarkan Mahkamah Perusahaan Malaysia menentukan keadilan sewajarnya buat diri saya dan bekas majikan itu.
Dan kini, setelah tertangguhnya 2 perbicaraan di mahkamah tersebut iaitu pada bulan Oktober 2011 dan Mei 2012 atas alasan-alasan yang sangat 'munasabah', mahkamah berkenaan akan bersidang semula untuk kes ini pada 10 & 11 Disember ini iaitu Isnin dan Selasa depan untuk membicarakan kes pembuangan kerja saya sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. pada 2009. Dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, perbicaraan akan dijalankan di Court 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur mulai jam 9 pagi dengan saya akan diwakili oleh peguam A. Sivanesan. Dengan bakal berdepan pengalaman baru dibicarakan di Mahkamah Perusahaan setelah lebih 3 tahun menunggu, saya berdoa dan berharap agar segalanya-gala akan berjalan dengan lancar.........insyaAllah.

Tuesday, July 3, 2012

Semakin turun suhu PRU 13, semakin panas BN/PR

Ketika suhu pilihanraya umum (PRU) ke-13 semakin memuncak hari demi hari, Mahathir Mohamad pula dipetik sebagai berkata, Najib Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya. Saranan bekas Perdana Menteri (gambar kiri) itu boleh dilihat sebagai persetujuan ke atas hasrat Perdana Menteri semasa yang menegaskan bahawa kerajaan BN berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008. Dalam reaksi segeranya, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menempelak Najib dengan berkata, secara tidak rasminya, Najib tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu. "Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Mahfuz lagi. Perkembangan ini pastinya menambah keresahan ahli-ahli politik sama ada dari BN mahupun Pakatan Rakyat (PR) yang ternanti-nanti "pertempuran" yang menjanjikan seribu satu kemungkinan, sama ada terus berkuasa atau sebaliknya. Terdapat laporan dan cakap-cakap kedai kopi yang menyebut sebelum ini di kalangan pemimpin BN yang "letih" dan "penat" dengan ugutan berterusan daripada kumpulan tertentu, berhadapan ancaman daripada pelbagai pihak termasuk ahli perniagaan dan kesatuan. Kebanyakan mereka termasuk menteri-menteri pusat, menteri besar, ketua menteri dan exco-exconya berada di bawah tekanan untuk memberikan kontrak, lesen, kebenaran, permit AP dan sebagainya ekoran ketidak tentuan dan kepastian mengenai tampuk kuasa dan ketidak senangan pihak tertentu jika kontrak-kontrak tertentu dilaksanakan. Jika menteri dan pembesar-pembesar ini dilihat enggan melaksanakan permintaan pemimpin berpengaruh dan kumpulan tertentu, mereka mungkin akan kehilangan sokongan dan tewas kepada kepada BN ataupun PR. Keresahan ahli-ahli politik dari kedua-dua pakatan turut dikongsi oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang turut meminta Najib untuk menyegerakan PRU ke-13 bagi mengelakkan ketidaktentuan kepada banyak industri. Spekulasi berterusan dan penangguhan berkenaan PRU akan menyebabkan pihak industri turut merasakan tempias dalam membuat keputusan, kata Presiden FMM, Yong Poh Kon. Secara logiknya, BN pastinya mahu menangguhkan selama mungkin PRU kerana kedudukan yang tidak seteguh dahulu ekoran peningkatan tahap sokongan dan dambaan kepada pimpinan PKR, PAS dan DAP serta rekod pimpinan lampau yang cukup menyakinkan dan memberangsangkan terutama di Selangor dan Pulau Pinang. Selepas PRU 2008, PR tidak perlu lagi berasa segan sebaliknya boleh mendabik dada kerana bukan lagi mampu untuk mencatatkan kemenangan kerana para pengundi menolak BN, sebaliknya tersenyum lebar meraih kemenangan disebabkan lebih ramai rakyat semakin menyokong mereka. Dilihat dalam senario am, dalam kekalahan mengejut BN pada 2008, rata-rata kebanyakan pengundi yang memangkah PR bukan kerana mereka sememangnya mahukan PR untuk memerintah negara sebaliknya memberikan undi protes kepada BN. Undi protes kepada BN ini dibuat kerana keangkuhan pemimpin BN dalam menaikkan harga minyak sesuka hati, khabar-khabar angin penyelewengan dan salah guna kuasa yang berleluasa dan keperkasaan portal berita yang menyajikan berita-berita alternatif berbanding media arus perdana yang rata-rata dikuasai oleh parti pemerintah. Namun, hari ini, dengan berbekalkan rekod pimpinan cemerlang yang telus, bebas rasuah dan usaha pembahagian kek ekonomi negeri seadanya, PR kini mampu mencatatkan kemenangan atas kekuatan sendiri, bukan lagi sekadar menang atas kelemahan pihak lawan. Kepada BN pula, pastinya Najib mahu mencipta "kenangan manis" dalam PRU pertama pimpinannnya dengan mengambil masa selama mungkin sebelum mengumumkan tarikh PRU ekoran dalam keadaan sekarang yang mana BN hanya mampu menang mudah dan tidak mampu memperolehi kemenangan majoriti dua per tiga seperti yang diinginkan. Justeru, langkah menangguhkan lagi PRU akan membuka ruang seluas-luasnya untuk beliau dan barisan pimpinan BN untuk mencetuskan "suasana selesa" menerusi pembentangan Bajet 2013 pada bulan September akan datang selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua yang cukup menyentuh hati sanubari rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar. Bila dan apapun tarikh serta keputusan PRU ke-13, pertembungan dua "singa" ini pasti akan menjanjikan seribu satu kegembiraan dan kedukaan kepada pihak yang menang dan kalah nanti, namun apa yang lebih penting ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk semua kaum dan segmen ekonomi masyarakat. *Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu. http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13212

Monday, May 21, 2012

POSTPONE 2.0

Merujuk posting sebelum ini, saya menentang Utusan Melayu (M) Berhad dalam kes buang kerja serta-merta yang semakin menghampiri ulang tahun ke-3 ditangguhkan lagi. Peguam saya menelefon untuk memaklumkan bahawa kes ini ditangguhkan atas alasan isteri peguam syarikat mengalami masalah kesihatan. Untuk makluman semua, kali pertama ditangguhkan adalah kerana saksi syarikat melangsungkan perkahwinan. Saya diberikan amaran beberapa kali oleh pihak kesatuan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes masih dalam perbicaraan, justeru, apa yang saya termampu lakukan ialah mengeluh dan berdoa agar kes ini berjalan dengan baik dan mengikut jadual tanpa wujudnnya alasan-alasan yang saya rasakan sebagai pelik dan terlalu tidak logik bagi orang yang cetek pengetahuan guaman seperti saya. Tarikh seterusnya perbicaraan ini tidak saya ketahui buat masa ini.....

Tuesday, May 1, 2012

Encik Amran Bin Ahmad v Utusan Melayu (Malaysia) Bhd Part II

Selepas proses perbicaraan kes saya menentang Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, tertangguh sejak bulan Oktober yang lalu, kini ia akan bersambung semula pada 21 dan 22 Mei ini di Mahkamah 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Y.A. Tuan Rajendran Nayagam. Saya dapati maklumat ini dari laman sesawang Mahkamah Perusahaan, http://www.mp.gov.my/eicpp/MainServlet?action=check&courtId=26&year=2012&month=5. Saya cuma berharap agar tiada lagi penangguhan atas sebab-musabab yang tidak munasabah seperti yang berlaku dalam perbicaraan Part I dengan alasan saksi tidak dapat hadir atas sebab perkahwinan dan sebagainya. Bukan terlalu mengharap, cuma mencari kebenaran dan keadilan setelah dibuang kerja hampir 3 tahun yang lalu dengan begitu kejam lagi ganas di bulan yang mulia bulan Ramadhan walaupun pernah menabur bakti hampir 10 tahun di sana.......

Wednesday, February 22, 2012

Dari kesatuan ke persatuan...


Lama sungguh aku dah tak menulis blog. Bukanlah sibuk sangat, cuma agak sibuk meninjau kerja-kerja kosong yang ada di pasaran setelah menjadi pengganggur hampir setengah tahun. Ada la buat projek itu dan ini bersama kawan-kawan tapi setakat ini satu pun tak nampak sinar lagi. Sabar dan terus bersabar, itu sahaja yang termampu aku buat. Kembali menyara kehidupan dengan menjadi penulis bebas, itu lah kerja semasa, namun ini bukan selamat sangat kerana aliran tunai sering menjadi suatu masalah.

Cuma apa yang baru dalam hidup aku ialah dilantik menjadi Setiausaha sebuah NGO - persatuan penduduk. Persatuan penduduk yang mana biarlah ia menjadi suatu rahsia atas sebab-sebab keselamatan :-). Kerana ianya suatu yang baru, banyak yang aku kena belajar terutama dari segi perlembagaan dan operasi. Apa yang sama dengan kesatuan ialah kedua-dua mempunyai ahli tetapi berbeza sekali dari segi pendekatan dan kelibat AJK yang menganggotainya.

Buat masa ini, tak banyak yang boleh aku kongsikan di sini sebab masih baru, cuma aku sangat excited kerana ianya sesuatu yang baru dan dapat menambah kenalan baru selain rakan-rakan sedia ada di KL ini. Pada masa yang sama, cuba untuk mencari kerjaya baru untuk menyara kehidupan (tak lama lagi anak akan bertambah kepada 3 orang, insyaAllah) dalam apa yang termampu, sesuatu yang baru mungkin.....