Pejam celik pejam celik, 3 September, yakni kelmarin, genap empat tahun saya dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) susulan keputusan bersalah atas dakwaan memfitnah syarikat ekoran aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Walaupun bersuara atas kapasiti sebagai Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu dengan bersandarkan pada kenyataan yang dihamburkan kepada portal berita Malaysiakini dan Harakahdaily, saya dibuang kerja sebagai wartawan akhbar Utusan Malaysia.

Perjuangan saya dalam membela ahli-ahli NUJ Utusan dalam kaedah bukan tradisional ini ternyata 'memakan diri' apabila karier selama hampir 10 tahun dalam kewartawanan arus perdana itu dinyah hapuskan dalam sekelip mata, lebih menyedihkan lagi apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatannya.

Sejak tarikh keramat empat tahun yang lalu itu yang merubah haluan hidup saya daripada wartawan sebuah akhbar arus perdana yang cukup kontroversi itu kepada keterlibatan secara aktif dan separa aktif dalam dunia politik, sesuatu yang tidak pernah diimpikan apatah lagi untuk dihadapkan setiap hari.

Pada masa yang sama, saya dengan penuh kesabaran menantikan kes buang kerja di Mahkamah Perusahaan yang difailkan pada tahun 2010 dengan nombor kes 23(9)/4-1143/10 akan melaksanakan fungsi asasnya untuk memberi keadilan kepada mereka yang terlibat, di mana soal menang atau kalah bukan lagi menjadi perkara pokok, sebaliknya keadilan buat 'mangsanya'.

Segala-galanya bermula saya menerima panggilan daripada tokoh veteran politik negara, Lim Kit Siang yang saya kenali sejak sekian lama menerusi hubungan akrab antara arwah bapa, Allahyarham Ahmad Nor dengan beliau dalam perjuangan politik merentasi sempadan bersama DAP.

Sejujurnya, hubungan sebelum 3 September 2009 antara saya dan Kit Siang tidak lebih daripada kenalan politik dengan kedua-dua kami menghormati pendirian dan karier masing-masing walaupun berada dalam landasan yang cukup berbeza namun masih boleh ditemu ramah dan menemu ramah dalam suasana yang cukup harmoni.

Cukuplah tak benci DAP
Bermula dari pertemuan pertama yang menjuruskan saya kepada kendalian lidah rasmi parti, Roket berbahasa Melayu dan kemasukan 'bebas' gegak gempita ke dalam DAP sebagai ahli di cawangan Damansara, saya terus menerima kepercayaan daripada parti terutama Kit Siang untuk bertugas sebagai pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tugas saya ketika itu, selain terus cuba untuk - bukan bermatlamat ke arah Melayu sokong DAP, cukuplah untuk tidak membenci DAP - menerusi Roket, ialah mengendalikan hal-ehwal masyarakat Melayu di pulau kelahiran saya itu dalam suasana penuh mencabar.

Mencabar kerana penerimaan anak bangsa saya sendiri terhadap DAP pada ketika itu yang cukup rendah ekoran persepsi cauvanis yang sekian lama tertanam di minda dan hati mereka.

Selaku pegawai khas kepada seorang ketua menteri yang cukup sendat dengan pelbagai kontroversi saban hari sejak menjawat kerusi panas itu pada 2008, saya melakukan tugas-tugas yang seperti diarahkan dan bebas untuk membuat keputusan asalnya sejajar dengan nawaitu untuk meringankan beban rakyat.

Memilih untuk 'bekerja' di balik tabir tanpa terlalu kerap 'ditayangkan' di dada-dada akhbar mahupun portal berita, saya lebih suka untuk mendampingi rakyat negeri ini terutama masyarakat Melayu secara low-profile sejajar dengan matlamat untuk membantu mereka, bukan meriak diri atau menunjuk kehebatan yang sebenarnya tiada.

Berdepan dengan hakikat perjuangan Melayu Pulau Pinang yang sekian lama menjadi isu yang sentiasa menarik untuk diperkatakan, saya agak bernasib baik kerana mendapat kerjasama rakan-rakan PKR dan PAS untuk mendampingi masyarakat Melayu di Pulau Pinang sekali gus menyelami serta menyelesaikan masalah mereka semampu yang boleh.

Tempoh bertenang
'Keseronokan' dengan cabaran tugas-tugas baru tersebut walau bagaimanapun hanya bersifat seketika setelah ianya dimamah oleh kerakusan politik pejabat yang menyebabkan saya akhirnya melepaskan jawatan tersebut dan memutuskan untuk kembali ke Kuala Lumpur meneruskan kerja-kerja penulisan bebas.

Di Kuala Lumpur, saya mengalami tempoh 'bertenang' dan bermuhasabah diri mengenai keterlibatan dalam dunia politik terutama pembangkang bernama DAP pasca pilihan raya umum ke-13 dan menuju 14 dalam suasana politik negara hari ini yang cukup berbeza jika dibanding dengan suasana politik arwah bapa.

Akhirnya, dengan tekad, azam dan keperluan untuk meneruskan legasi perjuangan arwah bapa dan perjuangan bangsa Malaysia, saya mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September ini.

Walaupun menerima galakan serta sokongan padu rakan-rakan yang juga ahli DAP terutama yang mengenali arwah bapa, apakan daya jika DAP telah memutuskan untuk tidak menerima pencalonan baru untuk saya yang akan menggunakan nama rasmi - Amran Ahmad Nor ini jika berpeluang untuk menempatkan diri dalam majlis tertinggi parti itu.

Dalam pada itu, ada juga di kalangan sahabat handai serta rakan media yang bertanya "Kenapa hanya sekarang?", maka jawapan saya cukup mudah iaitu kerana sekarang wujudkan keperluan untuk berbuat demikian setelah melihatkan keputusan CEC yang lalu terutama kekalahan semua calon Melayu dan keyakinan yang kian menebal setelah mengharungi sepak terajang politik kepartian dalam tempoh empat tahun ini.

Bagi saya, perjuangan politik ini, bak kata saudara Lim Kit Siang dalam pertemuan 'rasmi' kami suatu masa dahulu, adalah suatu proses yang cukup panjang dan dalam hal ini, kita tidak perlu tergesa-gesa atau begitu rakus untuk mencari populariti segera semata-mata, sebaliknya, bertindak secara rasional tanpa emosi keterlaluan berasaskan asas perjuangan yang sebenar.

Pada masa yang sama, saya turut berharap penangguhan kes buang kerja oleh Mahkamah Perusahaan kepada bulan Oktober ini akan sampai ke akhirannya setelah 4 tahun menunggu, menanti dan melayan pelbagai 'karenah' sistem perundangan dan guaman negara.