Thursday, August 7, 2014

5 tahun penantian kes Mahkamah Perusahaan

Bulan depan genaplah 5 tahun aku dibuang kerja dari Utusan Melayu.

Namun, keadilan yang kucari masih belum ditemui dengan terbaru, hakim yang mengendalikan kes aku ditukar ketika perbicaraan kes ini semakin hampir ke penghujungnya.....

Dengar kata, hakim lain telah ditugaskan untuk mengendalikan kes aku ini dan berjanji untuk menyelesaikannya menjelang hujung tahun ini......

Apa pun jua, aku tetap masih melihatkan sistem keadilan Malaysia terlaksana......insyaAllah

Tuesday, July 8, 2014

Teluk Intan: Dyana Sofya liabiliti atau aset?

Penulis pernah secara terbuka mengkritik tindakan calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, menggesa agar kerajaan membuka penyertaan ke dalam Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada semua kaum tidak lama dahulu.

Realitinya, kenyataan Dyana ini secara tidak langsung menggambarkan hasrat DAP untuk membuka penyertaan pelajar ke institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera khususnya dari luar bandar kepada semua kaum apabila menawan Putrajaya.

Bagi penulis, tindakan Dyana (kiri) yang masih 'mentah' ini mungkin menjadikannya cukup popular di kalangan ahli-ahli dan pimpinan DAP dengan pembawaan imej dan identiti bangsa Malaysia, tetapi pada masa yang sama, semakin menjarakkan DAP untuk menarik sokongan lebih ramai pengundi Melayu.

Namun hari ini, Dyana diletakkan sebagai calon DAP untuk memenangi sebuah kawasan Parlimen yang komposisi pengundi berbangsa Melayu (38 peratus) hampir menyamai peratusan pengundi Cina (42 peratus) manakala pengundi India hanya sekitar 19 peratus sahaja.

Alasan DAP dalam memilih Dyana sebagai calonnya sangat mudah iaitu membuktikan kepelbagaian wajah DAP sebagai sebuah parti politik, parti yang berbilang bangsa serta memberi peluang kepada kaum wanita, dengan pemilihan Dyana sebagai calon.

Dalam pada DAP cuba untuk membuktikan kepelbagaian kaum dalam parti itu dan kesaksamaan gender, parti itu juga perlu memilih dari pelbagai sudut lain antaranya kesesuaian serta kematangan umur untuk menjadi calon ahli Parlimen, tahap kekananan seseorang ahli serta faktor-faktor lain yang relevan.

'Superman' lebih baik
Dalam soal ini, penulis merasakan Dr Hew Kuan Yau (bawah) atau lebih sinonim dengan gelaran "Superman" adalah calon yang lebih baik untuk diketengahkan sebagai 'pembawa suara' DAP dalam Dewan Rakyat selain kematangan beliau dalam mengepalai unit publisiti pilihan raya parti dan kehebatan pidatonya yang cukup 'menghiburkan'.

Lebih penting dari itu, DAP seharusnya menumpukan usaha untuk menggembleng serta menumpukan segala usaha untuk terus meyakinkan masyarakat Cina untuk terus mengundinya seperti yang ditunjukkan pada pilihanraya umum (PRU) 2008 dan 2013.

Tatkala PAS sedang dilihat cuba untuk mengembalikan semula sokongan masyarakat Melayu terutama ahli-ahlinya dengan pelaksanaan hukum hudud tanpa mempedulikan 'hati' rakan-rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP pula terus hanyut dalam prasangka pengundi Cina akan kekal bersamanya selamanya.

Mungkin DAP semakin terlupa bahawa parti itu hampir-hampir 'terkubur' suatu ketika dahulu apabila semua pemimpin utamanya kalah dalam PRU 1995 dengan nama-nama besar dalam DAP termasuk Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh kalah dalam pilihan raya tersebut.

Selain itu, jika calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'dihumban' ke penjara untuk suatu tempoh yang lama, maka bermulalah episod keretakan berpanjangan hubungan antara DAP dan PAS kerana Anwarlah selama ini yang menjadi 'penghubung' antara mereka.

Justeru, sebelum 'nasi menjadi bubur', wajarlah jika jentera DAP yang khabarnya diketuai oleh Tony Pua bekerja sehabis keras untuk memastikan undi masyarakat Cina tidak berpaling kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang pastinya membawa seluruh 'kerajaan' dalam kempennya kali ini.