Tuesday, July 3, 2012

Semakin turun suhu PRU 13, semakin panas BN/PR

Ketika suhu pilihanraya umum (PRU) ke-13 semakin memuncak hari demi hari, Mahathir Mohamad pula dipetik sebagai berkata, Najib Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya. Saranan bekas Perdana Menteri (gambar kiri) itu boleh dilihat sebagai persetujuan ke atas hasrat Perdana Menteri semasa yang menegaskan bahawa kerajaan BN berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008. Dalam reaksi segeranya, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menempelak Najib dengan berkata, secara tidak rasminya, Najib tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu. "Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Mahfuz lagi. Perkembangan ini pastinya menambah keresahan ahli-ahli politik sama ada dari BN mahupun Pakatan Rakyat (PR) yang ternanti-nanti "pertempuran" yang menjanjikan seribu satu kemungkinan, sama ada terus berkuasa atau sebaliknya. Terdapat laporan dan cakap-cakap kedai kopi yang menyebut sebelum ini di kalangan pemimpin BN yang "letih" dan "penat" dengan ugutan berterusan daripada kumpulan tertentu, berhadapan ancaman daripada pelbagai pihak termasuk ahli perniagaan dan kesatuan. Kebanyakan mereka termasuk menteri-menteri pusat, menteri besar, ketua menteri dan exco-exconya berada di bawah tekanan untuk memberikan kontrak, lesen, kebenaran, permit AP dan sebagainya ekoran ketidak tentuan dan kepastian mengenai tampuk kuasa dan ketidak senangan pihak tertentu jika kontrak-kontrak tertentu dilaksanakan. Jika menteri dan pembesar-pembesar ini dilihat enggan melaksanakan permintaan pemimpin berpengaruh dan kumpulan tertentu, mereka mungkin akan kehilangan sokongan dan tewas kepada kepada BN ataupun PR. Keresahan ahli-ahli politik dari kedua-dua pakatan turut dikongsi oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang turut meminta Najib untuk menyegerakan PRU ke-13 bagi mengelakkan ketidaktentuan kepada banyak industri. Spekulasi berterusan dan penangguhan berkenaan PRU akan menyebabkan pihak industri turut merasakan tempias dalam membuat keputusan, kata Presiden FMM, Yong Poh Kon. Secara logiknya, BN pastinya mahu menangguhkan selama mungkin PRU kerana kedudukan yang tidak seteguh dahulu ekoran peningkatan tahap sokongan dan dambaan kepada pimpinan PKR, PAS dan DAP serta rekod pimpinan lampau yang cukup menyakinkan dan memberangsangkan terutama di Selangor dan Pulau Pinang. Selepas PRU 2008, PR tidak perlu lagi berasa segan sebaliknya boleh mendabik dada kerana bukan lagi mampu untuk mencatatkan kemenangan kerana para pengundi menolak BN, sebaliknya tersenyum lebar meraih kemenangan disebabkan lebih ramai rakyat semakin menyokong mereka. Dilihat dalam senario am, dalam kekalahan mengejut BN pada 2008, rata-rata kebanyakan pengundi yang memangkah PR bukan kerana mereka sememangnya mahukan PR untuk memerintah negara sebaliknya memberikan undi protes kepada BN. Undi protes kepada BN ini dibuat kerana keangkuhan pemimpin BN dalam menaikkan harga minyak sesuka hati, khabar-khabar angin penyelewengan dan salah guna kuasa yang berleluasa dan keperkasaan portal berita yang menyajikan berita-berita alternatif berbanding media arus perdana yang rata-rata dikuasai oleh parti pemerintah. Namun, hari ini, dengan berbekalkan rekod pimpinan cemerlang yang telus, bebas rasuah dan usaha pembahagian kek ekonomi negeri seadanya, PR kini mampu mencatatkan kemenangan atas kekuatan sendiri, bukan lagi sekadar menang atas kelemahan pihak lawan. Kepada BN pula, pastinya Najib mahu mencipta "kenangan manis" dalam PRU pertama pimpinannnya dengan mengambil masa selama mungkin sebelum mengumumkan tarikh PRU ekoran dalam keadaan sekarang yang mana BN hanya mampu menang mudah dan tidak mampu memperolehi kemenangan majoriti dua per tiga seperti yang diinginkan. Justeru, langkah menangguhkan lagi PRU akan membuka ruang seluas-luasnya untuk beliau dan barisan pimpinan BN untuk mencetuskan "suasana selesa" menerusi pembentangan Bajet 2013 pada bulan September akan datang selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua yang cukup menyentuh hati sanubari rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar. Bila dan apapun tarikh serta keputusan PRU ke-13, pertembungan dua "singa" ini pasti akan menjanjikan seribu satu kegembiraan dan kedukaan kepada pihak yang menang dan kalah nanti, namun apa yang lebih penting ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk semua kaum dan segmen ekonomi masyarakat. *Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu. http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13212