Saturday, July 23, 2011

23(9)/4-1143/10 : Lepas 2 Tahun Dibuang Kerja, Baru Mula Bicara


Sekadar peringatan semula, saya dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad pada 2 September 2009. Sehari selepas dibuang, saya terus melaporkan kes ke Jabatan Perusahaan di Menara Perkeso, Jalan Ampang dan seterusnya, melalui pelbagai proses, antara yang utama, perundingan damai dan menunggu kelulusan Menteri Sumber Manusia.

Kemudian, saya dan exco-exco NUJ menghadiri sesi pendengaran atau hearing case di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang. Dan kini tibalah masa yang saya tunggu selama ini untuk mendapat keadilan bagi pihak saya dan kesatuan yang saya wakili iaitu perbicaraan kes buang kerja saya, genap 2 tahun selepas tragedi itu berlaku.

Menurut laman sesawang Mahkamah Perusahaan, kes perbicaraan Encik Amran Bin Ahmad Menentang Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, Kod Kes : 4 - Dismissal akan bermula pada 14-10-2011 jam 9:00:00 dan diikuti dengan sesi seterusnya pada 19-10-2011 jam 09:00:00 di Court 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.

Dari sini, saya berharap mendapat keadilan sewajarnya dari Mahkamah negara ini dan dijadikan batu aras kepada perjuangan kesatuan di negara ini terutama NUJ dalam mempertahankan hak ahli-ahli, menjadi whistle-blower dan yang paling penting, tidak takut untuk dibuang kerja kerana berjuang.

Sunday, June 19, 2011

Kisah Amran Ahmad


Amran Ahmad adalah rakan seperjuangan sewaktu kami sama-sama bertugas di akhbar Utusan Malaysia dulu

Bezanya Amran adalah dari batch yang lebih junior daripada aku ketika itu

Ironinya, Amran merupakan anak bongsu kepada pemimpin Melayu pertama dalam parti DAP, Allahyarham Ahmad Noor

Mungkin disebabkan darah politik arwah bapanya itu, Amran sangat aktif dalam Persatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hingga terpilih menjadi Presiden NUJ cawangan Utusan Melayu

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo

baru-baru ini Amran atas kapasitinya sebagai pemimpin persatuan tersebut, telah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam pengurusan Utusan Melayu

Dalam laporan bertarikh 25 Jun lalu, Amran melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro setinggi RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, Amran mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilang Utusan Malaysia di Perai, Pulau Pinang yang didakwa “terlalu mahal” iaitu RM160 ribu.

disebabkan tidak berpuas hati dengan laporan yang dianggap memfitnah itu, Amran telah diberi surat tunjuk sebab oleh pengurusan syarikat

sebenarnya bukan syarikat saja yang tidak puas hati, malah tindakannya yang dianggap memfitnah dan melampau itu juga tidak disenangi beberapa rakan wartawan lain dalam Utusan Malaysia

malah pernah satu poster di tampal di pejabat itu yang mengaitkan Amran dengan penyusupan ‘ideologi’ DAP, fuh panas betul kes Amran ni

” Aku rasa teraniaya beb, aku bercakap atas kapasiti Presiden NUJ…kenapa pula nak ambil tindakan kat aku, kalau macam itu tak perlulah ada persatuan kalau tak boleh bercakap,” kata Amran panjang lebar pada aku sewaktu kami berbual dalam telefon malam tadi

Sebenarnya aku tidak memihak siapa-siapa dalam hal ini, Amran mungkin betul, Utusan mungkin salah dan begitulah sebaliknya

namun kita pun sedar bila bekerja di mana-mana syarikat, antara syarat utama yang perlu dipatuhi adalah menjaga nama baik majikan seperti mana yang tertulis dan termaktub dalam terma perkhidmatan

dalam masa yang sama, bagi aku, ini tidak bermakna majikan tidak boleh ditegur langsung

apa yang berlaku kepada Amran telah banyak berlaku di sekeliling kita

bagi aku, pekerja dan majikan adalah saling perlu memerlukan…dalam hal ini Utusan memerlukan Amran dan Amran juga memerlukan Utusan

sebagai kawan dan sahabat, aku harap perkara ini dapat diselesaikan cara baik kerana cara ‘kekerasan’ baik di pihak Utusan atau Amran tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Oleh : http://syahrilkadir.wordpress.com/2009/07/18/amran-ahmad-ejen-dap-dalam-utusan-melayu/

Monday, April 11, 2011

Kini...Wartawan Malaysia Tidak Sebebas Dahulu Lagi



Cerita media arus perdana dikuasai oleh parti politik tempatan bukan satu rahsia lagi, atau lebih kepada rahsia terbuka atau open secret dengan akhbar-akhbar arus perdana dimiliki oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.

Walaupun akhbar-akhbar arus perdana dikuasai oleh parti-parti pemerintah, namun wartawan itu sendiri menjalankan tugas dengan bebas, yang membawa maksud seseorang wartawan itu bebas untuk menemu bual, melapor atau menulis apa sahaja yang difikirkan wajar untuk dikongsi dengan masyarakat, tidak mengira sama ada cenderung parti pemerintah mahupun pembangkang.

Walaupun wartawan itu menulis berita, dalam proses penerbitan akhbar, yang menentukan sama ada berita itu disiarkan atau tidak bukan wartawan, sebaliknya ditentukan oleh sidang pengarang yang biasanya akan bermesyuarat di petang hari untuk menentukan berita mana yang disiarkan mengikut kesesuaian, masa, tahap kesegeraannya dan pelbagai faktor lagi.

Justeru, isu kebebasan media yang dilaungkan oleh banyak pihak sebelum ini tidak sama sekali diperjudikan oleh mana-mana wartawan, kerana wartawan bebas untuk melaporkan, menulis, menemu bual, bertanya apa jua soalan yang difikirkan sesuai tetapi yang menentukan siaran berita itu ialah sidang para pengarang, bukan wartawan itu sendiri.

Namun hari ini, agak menyedihkan apabila senario tersebut boleh dikatakan berubah hari ini dengan kebebasan wartawan sedikit tercalar apabila wartawan kini tidak sebebas dahulu, wartawan beberapa media arus perdana tidak dibenarkan untuk memasuki sidang akhbar tertentu, datang ke tempat tugasan dengan rasa sangsi dan berbelah, begitu juga nasib yang menimpa wartawan portal berita online.

Telah menjadi rahsia terbuka beberapa kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat hari ini tidak menjemput, ada juga yang menghalang wartawan media arus perdana menyertai sidang akhbar mereka dan terdapat juga kes di mana wartawan dari organisasi dihalau dengan cacian, diherdik dan menerima maki-hamun secara terbuka.

Begitu juga hal yang menimpa wartawan portal berita internet yang sering dikatakan condong kepada pembangkang, kehadiran mereka di majlis-majlis yang dianjurkan oleh parti-parti pemerintah sering disambut dengan pandangan sinis, sehingga ada di kalangan wartawan ini yang segan-silu untuk menyebut nama portal berita yang diwakili mereka.

Tidak kurang juga kes di mana mereka tidak dibenarkan untuk membuat liputan, dihadkan pengeluaran kad media dan tidak dapat layanan sewajarnya untuk proses temu bual atau pertanyaan semasa sidang akhbar.

Menyedihkan, profesion sebagai wartawan itu telah dinodai dengan pandangan dan tanggapan pihak penganjur bahawa para wartawan itu datang ke tempat tugasan dengan niat tertentu, kalau dari media arus perdana dianggap mahu memberi persepsi positif kepada pemerintah dan mengkritik pembangkang dan dari media portal berita internet pula sering dilabel sebagai pro-pembangkang, kebanyakannya.

Justeru, semua pihak harus membuang persepsi ini kerana tugas seseorang wartawan itu pada asasnya ialah untuk mencari berita, menulis berdasarkan setiap patah perkataan yang terkeluar dari mulut pembikin berita dan apa yang yang bakal ditulis selepas itu adalah berasaskan apa jua yang berlaku di tempat tugasan, bukan atas dorongan fahaman politik, emosi atau kesangsian tertentu. Benar, melihatkan senario semasa ini, kebebasan wartawan itu sendiri telah tercalar………

Thursday, January 20, 2011

Lihat Hata Wahari Dari Sisi Yang Berlainan

@ http://www.malaysia-instinct.com/malay/index.php?option=com_content&view=article&id=1902:lihat-hata-wahari-dari-sisi-yang-berlainan&catid=121:farah-deebah&Itemid=1376

Jika dahulu nama Amran Ahmad ....kini...Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari pula mewarnai dunia penulisan internet berhubung soal kebebasan media dan penguasaan kerajaan.
Kemarahan Hata dan Amran selama ini kerap ditafsir sebagai marah kepada kerajaan Barisan Nasional dan dikatakan condong kepada pembangkang...
Amat nyata sekali...kedua-dua mereka yakni Amran dan Hata berkerja di syarikat yang sama iaitu Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Jadi...tidakkah timbul persoalan mengapa pemimpin-pemimpin NUJ dari Utusan sahaja yang duk 'buat kecoh' semenjak dua ini?
Mengapa tidak kepimpinan NUJ di The Star atau akhbar-akhbar kumpulan Media Prima seperti The News Straight Times atau Berita Harian?
Apakah kepimpinan kesatuan di syarikat lain semuanya pengecut?
Mengapa NUJ Utusan umpama sarang kepada penganas kesatuan yang berterusan membenci kerajaan...orang lain tidak pula?
Farah selaku bekas wartawan.....teringin juga tahu mengapa NUJ Utusan kecoh sangat.....tak reti duduk diam ke?
Mengapa mereka begitu membenci kerajaan yang ada sekarang ....di kala ramai yang bergembira dan senang dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak....NUJ Utusan memanjang tak puas hati....
Gali punya gali.....melalui beberapa rakan.....gambaran sebenar apa yang berlaku di Utusan semakin nyata....
Kepimpinan NUJ Utusan sama ada di era Amran atau Hata Wahari bukan menentang kerajaan menurut seorang wartawan yang enggan dikenali...
"Yang mereka perjuangkan adalah ahli-ahli NUJ Utusan secara am dan semua kakitangan Utusan secara keseluruhan....bayangkan....gaji kami antara yang paling rendah di kalangan rakan-rakan wartawan...dan sudah dua tahun berturut-turut kami tak dapat bonus.
"Siapa yang tidak sakit hati bila kawan-kawan di Metro dapat sehingaa 5 ke 7 bulan....kami kena kerja sama teruk dengan mereka tetapi kami macam orang bodoh kena dengar macam-macam alasan tak guna syarikat," .
Wartawan wanita berkenaan begitu emosi ketika menceritakan senario di syarikat itu dalam satu pertemuan di sebuah kedai minum di Bukit Bintang minggu lalu.
Kata wartawan berkenaan...dengan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur dan gaji kecil di Utusan...ketiadaan bonus sehingga dua tahun adalah satu yang amat menyakitkan hati.
"Justeru itu....untuk sampai kepada umum dan menarik perhatian kerajaan, NUJ Utusan mungkin tidak ada pilihan melainkan untuk mengeluarkan kenyataan yang akan kena tepat ke batang hidung majikan selain meluahkan kebimbangan terutama dari segi penurunan jualan akhbar yang mampu memusnahkan terus syarikat dalam tahun mendatang.
"Apa yang boleh dibuat? Takkan kita nak tunggu kerajaan bail out Utusan pulak? Sekarang ini pun dah punya banyak bantuan dalam bentuk penulisan sisipan dan oklan GLC diberikan pihak kerajaan.... nak apa lagi?".
Jelas wartawan berkenaan, majikan Utusan seperti Ketua Pengarang bodoh yang jarang berada di pejabat dan sibuk dengan urusan luar, Pengerusi yang tidak tahu apa-apa dan setiap tahun berjanji nak letak jawatan tapi masih jugak berada dalam syarikat itu serta Pengarah Urusan Kumpulan yang selain tidak tahu mengembangkan perniagaan syarikat, juga terkantoi menjadi Pengerusi di syarikat lain adalah punca kehancuran secara perlahan Kumpulan Utusan.
"Dah terang-terang yang bermasalah dalam Utusan adalah 3 mangkuk ayun ini, tapi untuk menutup mata kepimpinan negara, menutup mata UMNO dan kerajaan, NUJ Utusan yang dijadikan mangsa berterusan," katanya.
Katanya, kalau ketiga-tiga berkenaan dibuang dan diganti dengan tenaga muda yang benar-benar bijak dan rajin bekerja, maka syarikat akan terus berkembang dan tidak akan ada sebarang penentangan.
Menurut wartawan wanita berkenaan, dalam keadaan di mana hampir kesemua kakitangan terutama ahli-ahli NUJ Utusan berada dalam keadaan tidak gembira dan tertekan...apa pilihan yang tinggal kepada NUJ Utusan melainkan untuk menentang kepimpinan syarikat secara terus.
Dan katanya, kenyataan-kenyataan Hata dan Amran dahulu banyak kepada majikan di Utusan...bukan terus kepada kerajaan atau Datuk Najib pun kalau dilihat...
Wartawan berkenaan seterusnya meluahkan lagi kekecewaan dengan gaya pengurusan syarikat....yang didakwanya penuh dengan penipuan...
"Bayangkan...baru-baru ini syarikat melakukan kerja-kerja menaik taraf mesin percetakan di dua buah kilangnya..nilainya RM19 juta....naik taraf daripada cetak hitam putih kepada warna...itu pun sampai RM19 juta....Kumpulan Karangkraf beli mesin cetak baru untuk akhbar Sinar Harian dulu pun baru RM5 juta sahaja.....kalau begini gayanya...sampai kiamat pun Utusan takkan buat untung," katanya.
Wartawan itu menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat kepada isu menaik taraf mesin cetak berkenaan dan menyiasat untuk mendapatkan adakah jumlah itu masuk akal.
"Tapi masa syarikat beli tiang gol ratus ribu di Pulau Pinang dulu pun SPRM tidak siasat....yang ini pun jangan haraplah....kalau dengar iklan SPRM kat radio macam telus sangat siasat semua benda," katanya.
Satu benda yang boleh dilakukan oleh pihak UMNO katanya ialah mendengar dengan telingga dan hati yang ikhlas jika mahu melihat kakitangan Utusan tenang dengan kerajaan.
Wartawan berkenaan menjelaskan.....jika kebajikan pekerja terjamin dan cukup serta penipuan dalaman syarikat dapat dibendung...tidak akan ada mana-mana pun pemimpin NUJ yang mahu mengambil tindakan yang boleh ditafsir menentang kerajaan.
"Manusia bila terdesak...dia mula menentang semua orang," katanya.
Wartawan itu juga mencadangkan agar wakil Perdana Menteri bertemu dengan NUJ Utusan dan Hata bagi mendapatkan gambaran apa yang berlaku dan menyerahkan laporan terus kepada Najib tanpa melalui pihak syarikat.
"Mungkin ketika itu Perdana Menteri akan sedar Utusan melalui titik paling buruk dalam sejarah kewujudannya," katanya.

Wednesday, January 19, 2011

Siapa perlukan kebebasan media? — Fitri Ibrahim

@ http://www.themalaysianinsider.com/breakingviews/article/siapa-perlukan-kebebasan-media-fitri-ibrahim/

January 19, 201119 JAN — Derita dunia media di Malaysia terus berpanjangan seolah-olah tiada penghujungnya. Selepas peristiwa mogok Utusan 1961, Malaysia seoalah-olah tidak lagi membincangkan persoalan kebebasan media secara serius kecuali menjadi basahan bibir segelintir pemimpin politik pembangkang. Warna dunia media massa Malaysia telah dicorakkan oleh kelompok politik yang menguasai media arus perdana dan media alternatif yang sebenarnya tidak berwarna.

Paling akhir, Hata Wahari salah seorang pejuang media yang bernaung di bawah NUJ pula mengalami ketidakpastian selepas Amran Ahmad dibuang kerja daripada Utusan Malaysia kira-kira setahun yang lalu.Nasib wartawan yang lantang bersuara ke arah kebebasan media ini berada di dalam ketidakpastian. Ada juga teman-teman media yang dengan sinis menyatakan Amran dan Hatta tidak lebih dari cuba mencari publisiti murahan dan cuba berlagak hero.

Mereka sepatutnya duduk diam-diam dan menikus sahaja daripada cuba berlawan dengan gergasi-gergasi yang berkuasa.Namun dalam perbualan saya bersama Amran sambil menikmati maggie goreng dan filem Braveheart, saya dapat melihat kecekalan anak kepada Ahmad Noor, seorang pejuang kesatuan sekerja di era 80-an yang akhirnya terjun ke arena politik negara dan menjadi wakil rakyat tunggal daripada DAP yang berbangsa Melayu. Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Amran menyertai Utusan Malaysia sebenarnya adalah atas nasihat bapanya, seorang bekas Ahli Parlimen DAP!Dalam pertemuan tersebut, saya cuba sedaya upaya memahami, menghayati dan membaca serba sedikit perjuangan kebebasan media di Malaysia yang sebenarnya malap dan berliku itu.

Hakikatnya perjuangan kebebasan media bukanlah hanya terhad kepada kerajaan sedia ada (BN) tetapi juga kepada sesiapa yang menjadi musuh kepada kebebasan media. Ada di antara kerajaan negeri dengan tidak semena-mena turut memboikot beberapa akhbar yang tidak pro kepada mereka yang turut ditentang oleh NUJ.Kebebasan bukanlah bermakna ketika kita untung sahaja, tetapi roh dan semangat kebebasan adalah sesuatu yang berprinsip dan sukar dijual beli.

Kita harus tegas dengan pendirian yang kita pegang sewaktu kita tidak berkuasa dan berkuasa, ketika kita susah dan senang.Inilah yang ditekankan oleh Amran ketika perbualan saya dengan beliau. Beliau yang kini baru sahaja menamatkan kerjaya di Pulau Pinang menyatakan dengan tegas bahawa sekiranya Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat cuba menghalang kebebasan media, maka mereka adalah musuh kepada kebebasan media yang akan diperangi habis-habisan.

Lantas saya bertanyakan kepada beliau siapa yang perlukan kebebasan media dan kenapa? Jawapan beliau: Utusan dibangunkan atas jerih perih rakyat yang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sebuah akhbar yang dapat menyuarakan suara hati orang Melayu ketika zaman penjajahan.Ramai yang menderma, mengadaikan emas berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk menatap sebuah akhbar yang akan membawa suara mereka.

Bukanlah niat murni tersebut tidak wajar dikhianati oleh perjuang kini?.Jika di zaman penjajahan, kita memerlukan sebuah medium untuk menyampaikan pandangan yang berimbang dan bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita, kenapa sekarang di zaman serba canggih ini media tidak boleh mengambil pendekatan yang sama.

Apakah perasaan pejuang Utusan sewaktu itu sekiranya mereka hidup dan melihat situasi Utusan saat ini?Jauh daripada itu, perjuangan kebebasan media berharap agar dapat membentuk sebuah masyarakat yang kritis dan lebih bermaruah. Masyarakat yang dapat berfikir secara kritis dan dapat berfikir dengan minda yang terbuka dan bebas.Sudah tiba masanya untuk pelbagai pihak melihat semula episod duka kebebasan media ini dengan lebih serius dan signifikan. Isu ini bukan sahaja perlu menjadi modal politik semata-mata.

Ianya perlu diangkat menjadi perjuangan panjangan dan berkesinambungan!Untuk Amran Ahmad dan Hatta Wahari dan rakan-rakan seangkatan:

Men don’t follow titles, they follow courage!

PRESS FREEDOM!*

Fitri Bin Ibrahim adalah pembaca The Malaysian Insider.*

This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified

Monday, January 17, 2011

Satu Hata hilang, 10 Hata bakal muncul?

@ http://merdekareview.com/bm/news.php?n=11467

Hari ini Hata Wahari akan dihadapkan ke panel Siasatan Dalaman (DI) selepas mendapat surat penggantungan kerja dan arahan seakan-akan tahanan rumah, mengimbau saya kepada kenangan ketika dihadapkan ke panel yang sama kira-kira setahun setengah lalu yang membawa kepada pembuangan kerja saya sebagai wartawan Utusan Malaysia setelah berkhidmat hampir 10 tahun.

Hata (gambar kiri) pula, bekerja selama 15 tahun sebagai wartawan Utusan Malaysia dan pernah mewakili pasukan pembelaan ketika DI ke atas saya ketika itu begitu lantang dalam mempertahankan tindakan saya selaku Pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu, walaupun kini saya tidak berupaya untuk membalas jasa baik beliau, cuma sekadar mampu berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan kepada beliau untuk menghadapinya.

Jika Hata juga menerima nasib yang sama seperti saya, ini bermakna Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan) yang menerbitkan akhbar arus perdana, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! telah membuang kerja dua ketua Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dalam masa yang begitu dekat, selain beberapa dekad yang lalu melibatkan bekas Presiden NUJ Malaysia, Yazid Othman.

Jika Hata dibuang kerja, beliau pastinya akan melakukan proses yang sama seperti yang dilakukan oleh saya sebelum ini iaitu membuat aduan di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia untuk dirujuk kepada Menteri Sumber Manusia yang akan memutuskan sama ada kes akan dibawa ke Mahkamah Perusahaan atau sebaliknya.

Dalam mempertahankan tindakan Hata ke arah kebebasan media yang menjadi antara asas perjuangan kesatuan semenjak ianya ditubuhkan, saya suka sekali untuk menarik perhatian dan mengalihkan pandangan daripada isu kebebasan media yang sekian lama membelenggu negara ini kepada "pemberontakan" dan kelantangan oleh wartawan Utusan sahaja, terutama ketika ditunjangi oleh dua pemimpin kesatuannya.

Walaupun dilakukan secara kolektif dan atas landasan kesatuan, wartawan Utusan dilihat yang paling lantang dalam pelbagai isu dan menjadi nakhoda NUJ yang boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang sering dilambung ombak walaupun bukannya tiada wartawan akhbar lain yang turut sama membarisi kepimpinan NUJ.

Di sebalik bisik-bisik yang mengatakan Hata sengaja "menjolok sarang tebuan" dan saya sendiri dikatakan ada agenda politik di sebalik perjuangan NUJ, amatlah wajar jika kupasan permasalahan yang membelenggu dan mula membarah dalam aspek kebajikan para wartawan Utusan seharusnya diselesaikan jika mahu mengelakkan kemunculan satu, dua atau tiga lagi ikon seperti Hata ini dalam Utusan.

Saya pernah berjuang bersama-sama Hata dalam NUJ cawangan Utusan Melayu suatu ketika dahulu, dari berbincang dengan pihak majikan berhubung soal kebajikan pekerja termasuklah CA dan pelbagai masalah ahli terutama berkaitan perubatan sehinggalah permuafakatan antara kesatuan dan majikan, dan saya melihat api perjuangan Hata yang dikongsi bersama saya dan exco-exco lain iaitu nawaitu ke arah peningkatan tahap kebajikan para wartawan.

Beliau bersama-sama exco kesatuan yang lain begitu komited dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada majlis eksekutif kesatuan untuk mengadakan perbincangan dalam persepakatan dan permuafakatan yang cukup tinggi ke arah mempertahankan kebajikan sedia ada sambil berusaha untuk mendapatkan lebih banyak manfaat untuk ahli-ahli.

Justeru, saya (Amran Ahmad, gambar kiri) membuat kesimpulan bahawa api yang menyala dalam perjuangan NUJ cawangan Utusan Melayu mula bersemarak ketika kegagalan beberapa rundingan penambah baikan CA sehingga menyebabkan para exco kesatuan termasuk Hata bosan, penat, naik berang dan menjadikan kami lebih bersemangat dan lantang dalam mempertahankan kebajikan pada ahli.

Mana mungkin kesatuan harus akur dengan kehendak pihak pengurusan untuk terus mengurangkan kebajikan sedia ada termasuk perubatan setelah pihak kesatuan terlepas skim Gratuiti sedikit masa yang lalu yang merupakan antara keistimewaan menjadi warga kerja Utusan Melayu walaupun tidak dijanjikan bonus dua bulan kontrak seperti yang dinikmati oleh wartawan NSTP.

Walaupun isu yang diperkatakan oleh Hata ini bukanlah sesuatu yang baru dan dilontarkan dengan cara yang lebih berani dan terbuka berbanding kepimpinan terdahulu NUJ, kita seharusnya tidak melupakan bahawa Hata adalah pekerja Utusan dan exco NUJ Utusan Melayu sejak sekian lama dan sudah lali dengan sepak terajang kesatuan dengan majikan dalam perjuangan bersama NUJ.

Dalam menyelesaikan kemelut semasa yang ada, saya suka untuk mencadangkan agar pihak pengurusan Utusan dapat menyelesaikan permasalahan CA yang kini sedang berada di mahkamah dan memenuhi tuntutan NUJ agar tidak lahir lagi seorang, dua orang atau tiga orang Hata dalam Utusan yang khabarnya sedang kehilangan semakin ramai wartawan berpengalaman.

Masalah kebajikan hampir 1,000 para wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi warga Utusan Melayu harus dipandang berat dan pendekatan lebih berhemah dan adil sewajarnya dipertimbangkan untuk "menyejukkan" hati warga NUJ terutama barisan exconya yang selama ini bertungkus-lumus untuk perjuangan murni ini.

Walaupun ketika ini saya berada di luar Utusan dan NUJ, namun saya mengikuti perkembangan semasa secara dekat dan tidak melihat sekiranya Hata dibuang kerja akan menyelesaikan masalah, sebaliknya kemelut yang bernanah akan menjadi busuk dan akhirnya memusnahkan kedua-dua belah pihak tanpa ada pemenangnya.

Dalam pada saya turut berdoa agar Hata tidak menerima nasib yang serupa dengan saya, saya turut mengharapkan CA Utusan Melayu dapat diselesaikan segera dan dalam suasana menang-menang agar bukan sahaja NUJ gembira, malah kerjaya kewartawanan akan lebih diminati oleh lepasan ijazah di negara ini ke arah penyebaran maklumat yang sekata dan meluas tanpa tapisan atau kongkongan.

*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu