Monday, April 11, 2011

Kini...Wartawan Malaysia Tidak Sebebas Dahulu Lagi



Cerita media arus perdana dikuasai oleh parti politik tempatan bukan satu rahsia lagi, atau lebih kepada rahsia terbuka atau open secret dengan akhbar-akhbar arus perdana dimiliki oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.

Walaupun akhbar-akhbar arus perdana dikuasai oleh parti-parti pemerintah, namun wartawan itu sendiri menjalankan tugas dengan bebas, yang membawa maksud seseorang wartawan itu bebas untuk menemu bual, melapor atau menulis apa sahaja yang difikirkan wajar untuk dikongsi dengan masyarakat, tidak mengira sama ada cenderung parti pemerintah mahupun pembangkang.

Walaupun wartawan itu menulis berita, dalam proses penerbitan akhbar, yang menentukan sama ada berita itu disiarkan atau tidak bukan wartawan, sebaliknya ditentukan oleh sidang pengarang yang biasanya akan bermesyuarat di petang hari untuk menentukan berita mana yang disiarkan mengikut kesesuaian, masa, tahap kesegeraannya dan pelbagai faktor lagi.

Justeru, isu kebebasan media yang dilaungkan oleh banyak pihak sebelum ini tidak sama sekali diperjudikan oleh mana-mana wartawan, kerana wartawan bebas untuk melaporkan, menulis, menemu bual, bertanya apa jua soalan yang difikirkan sesuai tetapi yang menentukan siaran berita itu ialah sidang para pengarang, bukan wartawan itu sendiri.

Namun hari ini, agak menyedihkan apabila senario tersebut boleh dikatakan berubah hari ini dengan kebebasan wartawan sedikit tercalar apabila wartawan kini tidak sebebas dahulu, wartawan beberapa media arus perdana tidak dibenarkan untuk memasuki sidang akhbar tertentu, datang ke tempat tugasan dengan rasa sangsi dan berbelah, begitu juga nasib yang menimpa wartawan portal berita online.

Telah menjadi rahsia terbuka beberapa kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat hari ini tidak menjemput, ada juga yang menghalang wartawan media arus perdana menyertai sidang akhbar mereka dan terdapat juga kes di mana wartawan dari organisasi dihalau dengan cacian, diherdik dan menerima maki-hamun secara terbuka.

Begitu juga hal yang menimpa wartawan portal berita internet yang sering dikatakan condong kepada pembangkang, kehadiran mereka di majlis-majlis yang dianjurkan oleh parti-parti pemerintah sering disambut dengan pandangan sinis, sehingga ada di kalangan wartawan ini yang segan-silu untuk menyebut nama portal berita yang diwakili mereka.

Tidak kurang juga kes di mana mereka tidak dibenarkan untuk membuat liputan, dihadkan pengeluaran kad media dan tidak dapat layanan sewajarnya untuk proses temu bual atau pertanyaan semasa sidang akhbar.

Menyedihkan, profesion sebagai wartawan itu telah dinodai dengan pandangan dan tanggapan pihak penganjur bahawa para wartawan itu datang ke tempat tugasan dengan niat tertentu, kalau dari media arus perdana dianggap mahu memberi persepsi positif kepada pemerintah dan mengkritik pembangkang dan dari media portal berita internet pula sering dilabel sebagai pro-pembangkang, kebanyakannya.

Justeru, semua pihak harus membuang persepsi ini kerana tugas seseorang wartawan itu pada asasnya ialah untuk mencari berita, menulis berdasarkan setiap patah perkataan yang terkeluar dari mulut pembikin berita dan apa yang yang bakal ditulis selepas itu adalah berasaskan apa jua yang berlaku di tempat tugasan, bukan atas dorongan fahaman politik, emosi atau kesangsian tertentu. Benar, melihatkan senario semasa ini, kebebasan wartawan itu sendiri telah tercalar………

No comments:

Post a Comment