@ http://www.themalaysianinsider.com/breakingviews/article/siapa-perlukan-kebebasan-media-fitri-ibrahim/
January 19, 201119 JAN — Derita dunia media di Malaysia terus berpanjangan seolah-olah tiada penghujungnya. Selepas peristiwa mogok Utusan 1961, Malaysia seoalah-olah tidak lagi membincangkan persoalan kebebasan media secara serius kecuali menjadi basahan bibir segelintir pemimpin politik pembangkang. Warna dunia media massa Malaysia telah dicorakkan oleh kelompok politik yang menguasai media arus perdana dan media alternatif yang sebenarnya tidak berwarna.
Paling akhir, Hata Wahari salah seorang pejuang media yang bernaung di bawah NUJ pula mengalami ketidakpastian selepas Amran Ahmad dibuang kerja daripada Utusan Malaysia kira-kira setahun yang lalu.Nasib wartawan yang lantang bersuara ke arah kebebasan media ini berada di dalam ketidakpastian. Ada juga teman-teman media yang dengan sinis menyatakan Amran dan Hatta tidak lebih dari cuba mencari publisiti murahan dan cuba berlagak hero.
Mereka sepatutnya duduk diam-diam dan menikus sahaja daripada cuba berlawan dengan gergasi-gergasi yang berkuasa.Namun dalam perbualan saya bersama Amran sambil menikmati maggie goreng dan filem Braveheart, saya dapat melihat kecekalan anak kepada Ahmad Noor, seorang pejuang kesatuan sekerja di era 80-an yang akhirnya terjun ke arena politik negara dan menjadi wakil rakyat tunggal daripada DAP yang berbangsa Melayu. Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Amran menyertai Utusan Malaysia sebenarnya adalah atas nasihat bapanya, seorang bekas Ahli Parlimen DAP!Dalam pertemuan tersebut, saya cuba sedaya upaya memahami, menghayati dan membaca serba sedikit perjuangan kebebasan media di Malaysia yang sebenarnya malap dan berliku itu.
Hakikatnya perjuangan kebebasan media bukanlah hanya terhad kepada kerajaan sedia ada (BN) tetapi juga kepada sesiapa yang menjadi musuh kepada kebebasan media. Ada di antara kerajaan negeri dengan tidak semena-mena turut memboikot beberapa akhbar yang tidak pro kepada mereka yang turut ditentang oleh NUJ.Kebebasan bukanlah bermakna ketika kita untung sahaja, tetapi roh dan semangat kebebasan adalah sesuatu yang berprinsip dan sukar dijual beli.
Kita harus tegas dengan pendirian yang kita pegang sewaktu kita tidak berkuasa dan berkuasa, ketika kita susah dan senang.Inilah yang ditekankan oleh Amran ketika perbualan saya dengan beliau. Beliau yang kini baru sahaja menamatkan kerjaya di Pulau Pinang menyatakan dengan tegas bahawa sekiranya Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat cuba menghalang kebebasan media, maka mereka adalah musuh kepada kebebasan media yang akan diperangi habis-habisan.
Lantas saya bertanyakan kepada beliau siapa yang perlukan kebebasan media dan kenapa? Jawapan beliau: Utusan dibangunkan atas jerih perih rakyat yang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sebuah akhbar yang dapat menyuarakan suara hati orang Melayu ketika zaman penjajahan.Ramai yang menderma, mengadaikan emas berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk menatap sebuah akhbar yang akan membawa suara mereka.
Bukanlah niat murni tersebut tidak wajar dikhianati oleh perjuang kini?.Jika di zaman penjajahan, kita memerlukan sebuah medium untuk menyampaikan pandangan yang berimbang dan bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita, kenapa sekarang di zaman serba canggih ini media tidak boleh mengambil pendekatan yang sama.
Apakah perasaan pejuang Utusan sewaktu itu sekiranya mereka hidup dan melihat situasi Utusan saat ini?Jauh daripada itu, perjuangan kebebasan media berharap agar dapat membentuk sebuah masyarakat yang kritis dan lebih bermaruah. Masyarakat yang dapat berfikir secara kritis dan dapat berfikir dengan minda yang terbuka dan bebas.Sudah tiba masanya untuk pelbagai pihak melihat semula episod duka kebebasan media ini dengan lebih serius dan signifikan. Isu ini bukan sahaja perlu menjadi modal politik semata-mata.
Ianya perlu diangkat menjadi perjuangan panjangan dan berkesinambungan!Untuk Amran Ahmad dan Hatta Wahari dan rakan-rakan seangkatan:
Men don’t follow titles, they follow courage!
PRESS FREEDOM!*
Fitri Bin Ibrahim adalah pembaca The Malaysian Insider.*
This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified
No comments:
Post a Comment