Friday, September 25, 2009

Perjuangan harus diteruskan...walau apa jua

Walaupun dipecat sebagai wartawan Utusan Malaysia awal bulan ini, pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Bhd tetap bersemangat melobi Umno agar membantu menyegerakan perjanjian bersama (CA) dengan majikannya.
Sempena mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Amran Ahmad bersama empat lagi ahli exco kesatuan itu menyerahkan surat memohon campur tangan parti itu yang memiliki syarikat akhbar berpengaruh itu.Bermula jam 2.30 sehingga 3.30 petang tadi, NUJ Utusan berjaya menyerahkan kira-kira 15 pucuk surat kepada ahli-ahli MT.
Pemimpin Umno yang ditemui antaranya Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan anggota majlis itu Datuk Noh Omar, yang juga seorang menteri.Amran turut mengambil peluang dalam pertemuannya dengan anggota-anggota MT tersebut untuk mengadu nasibnya susulan pemecatan berkenaan.
Amran dipecat serta-merta 3 September lalu selepas siasatan dalaman Utusan Melayu (M) Bhd mendapati wartawan meja jenayah itu bersalah menfitnah syarikat susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau didapati bersalah 20 Ogos lalu atas beberapa pertuduhan mencemarkan reputasi syarikat susulan tindakannya membangkitkan isu perbelanjaan syarikat kepada suruhanjaya tersebut.
Pertuduhan terhadapnya disandarkan pada kenyataannya selepas ke SPRM seperti dilaporkan Malaysiakini pada Jun lepas dan juga Harakahdaily, April lalu.NUJ Utusan masih lagi bergelut untuk mematerai CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA sebelumnya.Bagaimanapun perjuangan mereka untuk mendapatkan tuntutan CA itu masih gagal walaupun perjanjian lama telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.
Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.
Sementara itu, pemecatan Amran juga menimbulkan perasaan tidak buat hati sekumpulan penyokongnya, antaranya dengan melancarkan kempen mendapatkan sokongan di internet dan menggantung kain rentang mengkritik keputusan majikannya.Kira-kira jam 3.30 petang semalam, dua kain rentang besar digantung berdekatan ibu pejabat syarikat tersebut di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur yang mengecam pengurusan akhbar itu, termasuk mendakwa "mahu CA tertangguh lebih lama".
Bagaimanapun, difahamkan, hampir tiga jam digantung, dua kain rentang kira-kira lima meter telah diturunkan.
Gambar tersebut turut dimuatkan kembali di kumpulan maya "Keadilan Untuk Amran... Selamatkan Utusan!" dalam laman jaringan sosial Facebook - kini dengan keahlian seramai hampir seratus orang.Kumpulan maya itu bertujuan “mencari sokongan seberapa ramai ahli NUJ, ahli politik tanpa mengira parti.

No comments:

Post a Comment