Monday, April 24, 2017

Jasa, korban Ahmad Nor dalam DAP - masihkah ada yang kenang


Sejak tahun 2008, semakin hari semakin ramai orang Melayu 'berpusu-pusu' menyertai DAP, sebuah parti politik yang sehingga hari ini paling kerap ditohmah sebagai cauvinis, anti Islam, anti Melayu sehingga mana-mana orang Melayu yang menyertainya dianggap pengkhianat bangsa.

Ada yang menyertai DAP setelah melihatkan cara Lim Guan Eng mentadbir Pulau Pinang, ada yang baru menyedari DAP sebagai wardah perjuangan paling konsisten menentang rasuah dan ada juga kerana 'kagum' dengan kelasakan parti itu dalam sepak terajang politik tempatan.

Tidak kurang juga di kalangan mereka yang cuba merebut peluang sama ada politik atau perniagaan apabila DAP memegang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang malah ada juga yang menyertai DAP kerana percaya parti itu mempunyai peluang cerah ke Putrajaya.

Dalam berbicara tentang Melayu dalam DAP, tidak dapat tidak untuk memperingati Allahyarham Ahmad Nor yang menghembuskan nafas pada 11 Februari 2003 semasa masih menyandang jawatan naib pengerusi parti itu, genap 14 tahun yang lalu.

Mengimbau era arwah Ahmad Nor dalam DAP bermula tahun 1986 sebagai timbalan setiausaha agung, parti itu bukan seperti yang ada hari ini setelah mengalami pergerakan evolusi pantas terutama selepas tsunami politik tahun 2008.

DAP dahulu dan sekarang
Sebelum itu, DAP tidak sekuat, sekukuh hari ini dalam segala bentuk terutama kewangan, bilangan ceramah, kempen yang dijalankan dan jumlah keahlian pelbagai bangsa yang setara dengan keterlibatan Melayu yang terlalu sedikit mengikut nisbah kaum dalaman parti.

Kebanyakan aktiviti-aktiviti kepartian termasuk ceramah di serata pelusuk negara terpaksa dijalankan serta dibiayai dengan 'korban' poket sendiri, sesuatu yang harus 'dipersetujui' dan dianggap sebagai pengorbanan ketika era tersebut.

Walaupun berdepan 'keperitan' dan pengalaman berliku ini, Ahmad Nor yang merupakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak memandang ke belakang dan tidak mempedulikan keluh-resah dan kemelut dalaman dengan menjelajah ke seluruh pelusuk negara sebagai suara dan wakil Melayu dalam DAP.

Tekad tersebut berjaya mengatasi kekangan yang muncul terutama kewangan, kepayahan untuk mengembeling dan memobilisasi jentera di samping 'kehilangan' kawan-kawan yang tidak sependapat apabila beliau menyertai DAP selain 'sindiran' tajam adik-beradik beliau.

Bukan sedikit asakan dan sepak terajang yang terpaksa dihadapi beliau termasuk media arus perdana ketika itu yang bukan sekadar sering kali mendakwa arwah sebagai 'pengkhianat' Melayu, pro-Cina dan segalanya yang negatif di samping menjadi satu-satunya sasaran wakil-wakil rakyat Umno di Dewan Rakyat hanya kerana berbangsa Melayu.

Bagaimanapun, ia langsung tidak menggugat peranan Ahmad Nor di peringkat hal-ehwal dalaman parti, terus popular sebagai individu yang sering mendapat undi tertinggi dalam apa jua pemilihan dan terpanggil untuk menggalas tugas hal-ehwal disiplin parti sehingga tindakan pemecatan.

Ekoran rasa hormat yang cukup tinggi di kalangan pemimpin atasan parti dan ahli-ahli biasa, Ahmad Nor sering ditugaskan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP untuk menyelesaikan banyak kemelut yang melanda parti termasuk pemecatan Wee Choo Keong pada tahun 1998.

Di peringkat luaran pula, Ahmad Nor sering dipanggil untuk memberi ceramah di serata tempat seluruh negara bersama Lim Kit Siang bagi memperlihat kepelbagaian kaum dalam DAP sejajar dengan semangat bangsa Malaysia yang cukup sinonim dengan beliau.

Pun begitu, walaupun 'rezeki' tidak banyak menyebelahinya setelah kalah dalam tiga pilihan raya tatkala bersama DAP, tanpa ada sekelumit niat 'mengkhianati' DAP dengan menyertai Umno atau parti lain setelah mengharungi penat-lelah berjuang bersama DAP selama 27 tahun.

Walaupun hanya menang sekali di kerusi Parlimen Bayan Baru, Ahmad Nor terus setia bersama DAP sehingga terhenti degupan jantungnya walaupun selepas kalah pada pilihan raya umum 1999.

Harga kesetiaan DAP
Mungkin oleh kerana itu, walaupun setelah 14 tahun pemergian arwah, nama Ahmad Nor terus meniti di bibir ahli-ahli 'lama' DAP dan terus memperingati arwah yang juga pernah menang kerusi timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semasa ulangtahun ke-50 tahun DAP baru-baru ini.

Nama arwah turut disemadikan di jalan utama di Pulau Pinang sebagai mengenang jasa arwah yang pernah menjadi ahli Parlimen Bayan Baru dan timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, seperti mana kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai mendiang P. Patto dan Karpal Singh.

Walaupun sesungguhnya belum ada Ahmad Nor kedua dalam DAP, pastinya arwah berharap DAP akan terus menerima kemasukan secara beramai-ramai ahli dan pemimpin Melayu meskipun pada tarikh hari ini, 14 tahun yang lalu menjadi 'noktah' perjuangan arwah bersama DAP.

Al-fatihah...

No comments:

Post a Comment