Thursday, August 12, 2010

Salahkah saya cuma nak bantu orang Melayu?


Seperi yang disiarkan oleh http://merdekareview.com/

Saya bukan pejuang yang hebat, bukan juga pemimpin kesatuan sekerja yang masyhur, saya cuma pernah mencurahkan bakti dalam sebuah kesatuan sekerja bernama Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia dengan jawatan Timbalan Setiausaha Agung dan juga Pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu (M) Bhd. yang menaungi lebih 300 ahli- ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang bekerja untuk akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu dan Kosmo!

Sebagai Pengerusi NUJ Utusan Melayu, saya (Amran Ahmad, gambar kanan) diberikan amanah oleh Majlis Eksekutif kesatuan, barisan exco dan ahli-ahli untuk membela nasib mereka dengan mempertahankan hak-hak pekerja sedia ada di samping mencari formula ke arah memeterai perjanjian bersama (CA) yang akan menjurus kepada kenaikan gaji, elaun kenderaan serta penambah-baikan beberapa faedah lain untuk kakitangan Kumpulan Utusan.

Pada asasnya, perjuangan NUJ Utusan Melayu adalah sangat ringkas untuk difahami: mempertahankan hak-hak sedia ada sambil memperjuangkan beberapa perkara agar sejajar dengan NUJ cawangan lain di negara ini. Mempertahankan hak-hak sedia ada seperti kos perubatan pekerja, kenaikan gred automatik, kos bersalin pekerja dan lain-lain hak kebajikan yang terbaik di kalangan syarikat-syarikat tempatan.

NUJ Utusan Melayu sangat bertuah kerana banyak hak-hak kebajikan yang dinikmati ini tidak boleh ditandingi oleh mana-mana syarikat termasuk dalam bidang penerbitan atau penyiaran tempatan.

Perjuangan NUJ

Perjuangan pula adalah melibatkan beberapa perkara yang bersifat kontemporari dan berubah mengikut masa seperti kenaikan tahunan yang diputuskan untuk tempoh dua tahun sekali dalam CA, elaun kenderaan serta tuntutan perbatuan dan beberapa elaun lain yang menerima kesan kenaikan di persekitaran tempatan.

Bagi saya, perjuangan ini lebih kepada membantu orang Melayu yang menjadi kawan, rakan sekerja dan mereka yang saya lihat dan jumpa setiap hari kerana rata-rata lebih 95% daripada warga Utusan Melayu ialah orang Melayu yang terdiri dari pelbagai lapisan umur, kelas sosial dan keturunan.

Dalam perjuangan ini, saya "tersadong" di pertengahan jalan apabila dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. setelah didapati bersalah atas pertuduhan menfitnah syarikat berdasarkan laporan berkenaan kesatuan yang disiarkan oleh portal berita, Malaysiakini.com dan harakahdaily.net.

Dibuang kerja atas tuduhan fitnah syarikat

Sedikit latar belakang, kedua-dua portal berita itu menyiarkan usaha NUJ Utusan Melayu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminta badan tersebut menyiasat invois pembelian tiang gol milik syarikat yang bernilai sekitar RM160,000 dengan aduan tersebut dibuat atas bukti-bukti yang serba lengkap dan sahih.

Apa yang pasti, keputusan untuk ke SPRM itu adalah atas persetujuan dan mandat yang diberikan oleh barisan exco dan saya selaku Pengerusi NUJ Utusan diberikan amanah untuk mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan berkenaan dan oleh kerana nama saya disebutkan dalam artikel-artikel berkenaan, maka saya didapati menfitnah syarikat dan seterusnya dibuang kerja.

Di sini juga saya menjadi lebih keliru kenapa saya dibuang kerja sebagai wartawan sedangkan artikel-artikel itu tidak langsung menyebut saya sebagai wartawan yang membuat laporan SPRM sebaliknya dipetik sebagai Pengerusi NUJ Utusan Melayu. Lagipun, siapa lagi kalau bukan sesebuah kesatuan yang sepatutnya meminta pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujudnya kesangsian dalam pengurusan kewangan syarikat yang boleh memberi kesan langsung dalam soal kenaikan gaji dan masa depan syarikat sebagai periuk nasi kepada ribuan kakitangannya.

Atas kewajaran ini, saya menfailkan kes saya di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bagi mencari keadilan di atas tragedi yang menimpa saya dan kesannya ke atas pemimpin kesatuan sekerja masa depan dalam mendepani segala tindakan yang boleh diambil ke atas pemimpin kesatuan sekerja ekoran tindak-tanduk dalam perjuangannya.

Penghargaan saya kepada barisan exco NUJ

Hari ini, NUJ Utusan Melayu sudah mempunyai barisan pemimpinan yang baru dan saya berharap dan menadah tangan berdoa agar segala hak dan kepentingan ahli-ahli kesatuan terus terpelihara dan semoga CA yang dimeterai nanti akan memberikan nikmat baru dalam kehidupan warga Utusan yang rata-ratanya orang Melayu yang menjadi kepala keluarga bagi ratusan keluarga masyarakat Melayu.

Menceritakan pengalaman dibuang kerja, saya ingin melahirkan penghargaan kepada barisan exco NUJ Malaysia dan NUJ Utusan Melayu yang tidak mengiktiraf keputusan syarikat membuang kerja dan masih mengiktiraf saya sebagai Timbalan Setiausaha Agung NUJ Malaysia dan Pengerusi NUJ Utusan Melayu sekalipun kerjaya saya sebagai wartawan telah dimusnahkan.

Pada masa yang sama, barisan exco turut memberikan sokongan moral dan menghulurkan bantuan ketika saya dibuang kerja di ambang menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Apa yang lebih "menderitakan" ialah kehilangan atau penurunan potensi dan peluang untuk mendapat pekerjaan baru walaupun telah menghadiri lebih enam temuduga dan menghantar puluhan surat permohonan pekerjaan di banyak syarikat sama ada media atau perhubungan awam dan sebagainya bukan sahaja kerana rujukan individu yang perlu disertakan malah berita saya dibuang kerja yang tersebar meluas di internet.

Ketika ini, saya masih tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas hampir setahun menganggur setelah dibuang kerja dalam bulan Ramadhan yang lalu dan kedatangan Ramadhan tahun ini sedikit sebanyak mengimbau semula kenangan tragedi serta dugaan terbesar dalam hidup saya setelah dibuang kerja serta-merta kira-kira setahun yang lalu walaupun hampir 10 tahun memerah keringat sebagai wartawan.

Menurut pegawai Perhubungan Industri (IR) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya yang mengendalikan kes pembuangan pekerjaan saya di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, pihaknya kini sedang menunggu kata putus dari menteri terbabit sama ada kes saya ini akan ke Mahkamah Perusahaan atau dibuang sahaja.

Pada masa ini, saya cuma mampu berdoa agar saya mendapat keadilan sewajarnya dengan menadah tangan meminta agar Allah Taala membuka pintu hati Menteri Sumber Manusia, S. Subramaniam untuk mengarahkan kes ini diadili di Mahkamah Perusahaan bagi menentukan sama ada tindakan buang kerja ke atas saya ini adalah sah di sisi undang-undang ataupun tidak.

*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment