Wednesday, June 16, 2010

Perjuangan NUJ belum selesai

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat rakan-rakan NUJ Utusan Melayu,

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada NUJ cawangan Utusan Melayu kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan perutusan terakhir sebagai Pengerusi NUJ Utusan Melayu penggal 2008 -2010 dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kesatuan setelah selesai pemilihan barisan exco yang baru untuk penggal seterusnya.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin memberi sekalung tahniah kepada barisan kepimpinan baru exco-exco NUJ Utusan Melayu yang diberikan amanah oleh para wartawan, jurugambar serta artis grafik untuk menjadi perantara antara pekerja jawatan berkenaan dengan pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd.

Rakan-rakan ahli NUJ Utusan Melayu sekalian,

Pada asasnya, perjuangan NUJ Utusan Melayu adalah sangat ringkas untuk difahami : mempertahankan hak-hak sedia ada sambil memperjuangkan beberapa perkara agar sejajar dengan NUJ cawangan lain di negara ini. Mempertahankan hak-hak sedia ada seperti kos perubatan pekerja, kenaikan gred automatik, kos bersalin pekerja dan lain-lain hak kebajikan yang terbaik di kalangan syarikat-syarikat tempatan. Kita di NUJ Utusan Melayu sangat bertuah kerana banyak hak-hak kebajikan yang dinikmati ini tidak boleh ditandingi oleh mana-mana syarikat termasuk dalam bidang penerbitan atau penyiaran.

Perjuangan pula adalah melibatkan beberapa perkara yang bersifat kontemporari dan berubah mengikut masa seperti kenaikan tahunan yang diputuskan untuk tempoh dua tahun sekali dalam perjanjian bersama (CA), elaun kenderaan serta tuntutan perbatuan dan beberapa elaun lain yang menerima kesan kenaikan di persekitaran tempatan.

Justeru, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pandangan serta pengalaman yang saya lalui selama sekitar 10 bulan sejak saya diberhentikan kerja pada bulan September yang lalu. Sudah tentu, selain menfailkan kes saya di Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi mencari sinar keadilan untuk saya dalam kes pembuangan pekerjaan, saya mencari sumber pendapatan baru iaitu kerjaya baru sejajar dengan kelulusan dan pengalaman bekerja saya.

Walaupun belum bertemu jodoh dengan mana-mana syarikat setakat ini dan menyara kehidupan dengan menjadi penulis dan penterjemah bebas, namun saya telah menghadiri tujuh temuduga pekerjaaan dalam pelbagai sektor setelah menghantar puluhan resume bagi meneroka peluang kerja.

Dalam kesemua tujuh temuduga yang saya hadiri, saya diberi kesempatan untuk bertanyakan soal kebajikan pekerja sekiranya saya diambil bekerja di syarikat itu dan dalam masa saya membelek-belek dan menatapi segala jenis kemudahan serta kebajikan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berpotensi itu, saya mulai sedar bahawa tiada satupun SETANDING dengan kebajikan yang ditawarkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad, kecuali beberapa perkara lain yang agak berbeza seperti gaji pokok, elaun tetap kenderaan dan sebagainya.
Justeru, saya berdoa agar Allah Taala dapat membantu saya untuk kembali semula ke Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan suatu masa nanti bagi membolehkan saya terus menikmati segala kemudahan dan kebajikan ahli-ahli NUJ Utusan Melayu sedia ada yang saya sifatkan sebagai terbaik.

Bagi membolehkan saya terus menikmati kemudahan serta kebajikan TERBAIK ini, saya sangat-sangat berharap agar barisan exco NUJ Utusan Melayu bagi penggal semasa akan terus BERJUANG serta MEMPERTAHANKAN apa jua hak kebajikan yang diperjuangkan oleh pemimpin NUJ terdahulu.
Semoga ahli-ahli NUJ Utusan Melayu terus bersatu dan menyokong secara padu lagi bersemangat segala usaha-usaha dan ikhtiar barisan exco NUJ Utusan demi memartabatkan kerjaya di Utusan Melayu.
Buat diri saya, cuma mampu berdoa agar mendapat keadilan yang sewajarnya dalam kes pembuangan pekerjaan pada September 2009 yang lalu dan terus menunggu jika sinar keadilan itu ditakdirkan untuk muncul, biar selama mana jua dugaan ini terus menguji dan selama mana boleh bertahan.

Sekian, salam perjuangan dari saya.

No comments:

Post a Comment