Seperti yang disiarkan @ http://merdekareview.com
Menutup tirai 2010 dan membuka lembaran baru 2011 tidak sarat dengan maknanya bagi sesetengah orang walaupun banyak perkara menarik dijangka berlaku tahun 2011 dengan pelbagai ramalan tarikh pilihanraya umum ke-13 bagi Malaysia, kemungkinan berlakunya gelembong pasaran hartanah, berita baik untuk pekerja sektor swasta, prospek pertumbuhan ekonomi negara dan sebagainya.
Hal-hal sedemikian mungkin antara acara atau perkara baru yang dijangka berlaku, namun jangan pula dilupakan banyak isu-isu tertunggak yang turut sama terheret ke tahun 2011 kerana masih ada yang membelenggu, belum diselesaikan dan mengalami evolusi berterusan terutama kebebasan media yang masih menjadi duri dalam daging kerana rakyat dahagakan berita yang seimbang dari media arus perdana dalam usaha mewujudkan masyarakat yang kritis lagi kritikal menjelang tahun 2020 dengan Malaysia mencapai status negara maju.
Walaupun hari ini adalah lebih baik berbanding semalam dengan kewujudan beberapa portal berita dan akhbar bersaiz tabloid yang mengamalkan keterbukaan dan keseimbangan pemberitaan terutama hal-hal berkaitan politik Malaysia, namun kebebasan sebenar masih belum tercapai kerana parti-parti politik masih menguasai media arus perdana.
Selagi parti-parti politik menguasai media terutama akhbar arus perdana, maka selagi itulah rakyat pelbagai kaum akan disajikan dengan berita-berita yang tidak seimbang, jumud dan kadang-kala menyemarakkan api perkauman yang jika terus ditiupkan, maka bencananya akan menghancurkan negara atau setidak-tidaknya menarik negara terkebelakang.
Apa yang terngiang-ngiang di telinga penulis sehingga menyebabkan bulu roma meremang ialah bertiup kencang khabar angin yang membawa pengkisahan seorang lagi pejuang kesatuan sekerja dalam industri media negara yang begitu lantang dalam memperkatakan mengenai isu kebebasan media akan dikenakan tindakan oleh syarikat di mana beliau bekerja pada masa ini.
Beliau mungkin mengalami nasib yang sama seperti penulis yang bukan sahaja kehilangan pekerjaan ekoran mengeluarkan kenyataan sebagai pemimpin kesatuan sekerja, malah bakal mengalami trauma dan bahana dalam mendapatkan pekerjaan baru untuk menyara kehidupan dengan segala kesukaran dan keperitan akibat status buang kerja yang diraih.
Jika ini berlaku, maka negara boleh mengisytiharkan tarikh itu sebagai hari hitam kebebasan media kerana pemimpin kesatuan sekerja tidak lagi dibolehkan untuk bercakap tentang kebebasan media sedangkan antara asas perjuangan kesatuan sekerja dalam industri media ialah memperjuangkan isu kebebasan media sejak sekian lama dan demi profesionalisme kerjaya kewartawanan.
Apa gunanya ada kesatuan sekerja yang memayungi ribuan ahli-ahlinya jika mahu ia bergerak ala-ala persatuan tanpa mampu untuk membicarakan isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama kebebasan media selain hanya bercakap mengenai kebajikan dan gaji ahli-ahli semata-mata.
Jika ini berlaku, satu lagi episod hitam dalam kebebasan media negara ini bakal berlaku buat kali kedua selepas 50 tahun semenjak peristiwa mogok Utusan tahun 1961 yang dikepalai oleh Said Zahari (gambar kiri) bagi menghalang penguasaan parti politik dalam akhbar keramat masyarakat Melayu itu yang menjadi ingatan dan kenangan buat pendokong kebebasan media.
Justeru, sebagai membuka tirai baru 2011, penulis ingin mengulangi peringatan mengenai keperluan untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, supaya para penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah bagi memberi lebih ruang dan keterbukaan dalam penerbitan akhbar arus perdana.
Dalam semangat untuk terus berjuang ke arah kebebasan media yang lebih terbuka dan seimbang, sesekali wajarlah untuk terus menjenguk kepada aspek terpenting kalau bukan utama mengenai pemilikan akhbar-akhbar arus perdana oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.
Rakyat Malaysia harus terus memujuk semua parti komponen BN untuk melepaskan pegangan dalam semua akhbar-akhbar arus perdana ini bagi merealisasikan impian kalau bukan angan-angan untuk melihat kebebasan media yang lebih seimbang, terbuka, bukan berteraskan perkauman dan mendapat perhatian oleh kebanyakan rakyat "atas pagar".
Pada masa yang sama, pemimpin kesatuan sekerja di negara ini perlu terus dilindungi dari segala bentuk ancaman, ugutan serta tindakan yang boleh menamatkan kerjaya mana-mana individu kerana perjuangan murni ke arah kebangkitan bangsa yang lebih dinamik harus dipertahankan walaupun realitinya, setiap perjuangan itu ada risikonya tersendiri.
Bagi orang kebanyakan seperti penulis yang sedang menghadapi perbicaraan kes buang kerja oleh Utusan Melayu (M) Berhad yang baru mula didengar pada 21 Disember yang lalu dan bakal memasuki pusingan kedua pada 24 Januari akan datang, tahun 2011 tidak lebih dari sekadar kesinambungan untuk mencari keadilan untuk diri sendiri, kesatuan sekerja yang pernah dianggotai dan dunia kewartawanan tempatan secara amnya.
Jika diambil beberapa kes buang kerja sebelum ini yang biasanya mengambil masa sehingga tiga tahun melibatkan lebih 10 pusingan kesemuanya sebagai penanda aras, maka tahun 2011 ini hanya perjalanan seterusnya untuk mendapat pengadilan sewajarnya sebelum menjengah tahun berikutnya.
*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.
Thursday, December 30, 2010
Sunday, December 5, 2010
21 Disember 2010 - Bermula kes Amran Ahmad v/s Utusan Melayu (M) Bhd.
Salam buat semua.
Seperti yang diketahui semua, saya telah dibuang kerja serta merta sebagai wartawan Utusan Malaysia pada September 2009, dan selepas itu saya membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 20 yang seterusnya akan membawa kes ke perhatian Menteri Sumber Manusia dan syukur Allah Taala, kes saya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.
Pada 21 Disember ini, kes saya ini akan mula di dengar di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang kerana pada ketika ini saya menetap di Pulau Pinang yang merupakan tempat kelahiran saya. Saya akan diwakili oleh peguam A. Sivanesan & Co yang bertanggung jawab untuk mendapatkan keadilan buat saya dan tuntutan-tuntutan yang dibuat.
Terima kasih kepada NUJ Malaysia dan NUJ Utusan Melayu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam membela nasib selepas dibuang kerja ekoran tindakan atas kapasiti Pengerusi NUJ Utusan Melayu dalam perjuangan ke arah memartabatkan kebajikan dan kehidupan para wartawan, jurufoto dan artis grafik Utusan Melayu.
Harapan saya semoga mendapat keadilan sewajarnya....insyaAllah
Seperti yang diketahui semua, saya telah dibuang kerja serta merta sebagai wartawan Utusan Malaysia pada September 2009, dan selepas itu saya membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 20 yang seterusnya akan membawa kes ke perhatian Menteri Sumber Manusia dan syukur Allah Taala, kes saya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.
Pada 21 Disember ini, kes saya ini akan mula di dengar di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang kerana pada ketika ini saya menetap di Pulau Pinang yang merupakan tempat kelahiran saya. Saya akan diwakili oleh peguam A. Sivanesan & Co yang bertanggung jawab untuk mendapatkan keadilan buat saya dan tuntutan-tuntutan yang dibuat.
Terima kasih kepada NUJ Malaysia dan NUJ Utusan Melayu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam membela nasib selepas dibuang kerja ekoran tindakan atas kapasiti Pengerusi NUJ Utusan Melayu dalam perjuangan ke arah memartabatkan kebajikan dan kehidupan para wartawan, jurufoto dan artis grafik Utusan Melayu.
Harapan saya semoga mendapat keadilan sewajarnya....insyaAllah
Subscribe to:
Posts (Atom)