Tatkala ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim mencadangkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijadikan universiti diraja bagi mengekalkan peranannya mendidik generasi muda Bumiputera, ahli DAP yang juga graduan UiTM Dyana Sofya Mohd Daud bangkit membangkang keras.

Setiausaha politik kepada ahli Parlimen Gelang Patah itu juga orang yang sama, pada September tahun lalu, menggesa kerajaan membuka penyertaan ke dalam institusi yang bertujuan membantu pelajar Bumiputera, khususnya dari luar bandar, kepada semua kaum.

Tindakan Dyana ini secara tidak langsung menggambarkan hasrat DAP untuk membuka penyertaan pelajar ke institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera khususnya dari luar bandar kepada semua kaum apabila menawan Putrajaya.

Tindakan Dyana juga menjadikannya cukup popular di kalangan ahli-ahli dan pimpinan DAP dengan pembawaan imej dan identiti bangsa Malaysia, tetapi pada masa yang sama, semakin menjarakkan DAP untuk menarik sokongan lebih ramai pengundi Melayu.

Sebenarnya, tindakan ini salah satu daripada banyak lagi kenyataan pimpinan atasan DAP sebelum ini yang secara langsung mengguris hati orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.

Antara yang paling ketara ialah keengganan beberapa pimpinan atasan DAP untuk menerima gelaran dari raja-raja Melayu.

Ia sekali gus mencerminkan DAP sebagai sebuah parti yang tidak menghormati institusi beraja di negara ini walaupun semua pihak cukup sedar dan raja-raja Melayu adalah simbol utama perpaduan dan kekuatan sebahagian besar orang Melayu di Malaysia.

Sensitiviti Melayu
ADUN DAP sendiri, Ng Suee Lim pernah menggesa DAP untuk mengkaji semula peraturan tidak bertulis yang tidak menggalakkan ahli menerima pingat dan darjah kebesaran istana bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap DAP sebagai parti yang anti Melayu.

Itu belum termasuk kecenderungan dan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini yang menyebut bahawa tindakan mahkamah akan diambil terhadap Sultan Perak dalam tragedi pertukaran kerajaan negeri.

Ini selain insiden yang membabitkan keengganan beberapa wakil rakyat DAP untuk memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Darul Takzim.

Walaupun tindakan Karpal itu tidak bersifat perkauman dan atas nama keadilan, namun sensitiviti orang Melayu perlulah diambil kira, dijaga.

Semua pihak sepatutnya menghormati budaya dan adat-resam pemakaian semasa acara-acara rasmi yang melibatkan kehadiran sultan.

Orang Melayu secara umumnya tidak dapat menerima provokasi ke atas raja-raja Melayu yang disifatkan sebagai lambang kekuatan agama Islam dan bangsa Melayu sejajar dengan peranannya sebagai Ketua Agama Islam dan bertanggungjawab dalam memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Manakala songkok pula, sebagai pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri upacara rasmi seperti upacara perkahwinan, solat Jumaat, upacara keagamaan, sewaktu menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban di kalangan orang Melayu, menggambarkan dekatnya di hati orang Melayu.

640,000 Melayu di Pulau Pinang
Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan DAP tidak mencalonkan walau seorang pun ahli Melayu sebagai calon bagi kerusi DUN Pulau Pinang pada pilihan raya umum (PRU) lalu sedangkan terdapat 640,000 Melayu di Pulau Pinang.

Ini terus menjadi buah mulut dan bahan jajaan pihak musuh sehingga hari ini.

Kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi DAP berpotensi untuk menang dalam PRU yang lalu dan seharusnya beberapa kerusi diberikan kepada calon Melayu sebagai menghantar suara Melayu di kalangan DAP pada persidangan DUN.

DAP tidak harus sekadar mengharapkan wakil Melayu di kalangan PKR dan PAS semata-mata.

Semua kenyataan dan tindakan ini telah, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan sedikit sebanyak mengguris hati orang Melayu.

Dan sentimen seperti ini pastinya tidak baik untuk DAP dalam usahanya untuk menangkis atau setidak-tidaknya membuang 'luka' di hati orang Melayu.

Tindakan sedemikian juga, difahamkan, sedikit sebanyak menjurus kepada tindakan Zulkilfi Mohd Noor menyifatkan Melayu sebagai bernilai hanya 50 sen dalam DAP dan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Momokan-momokan mengenai DAP
Selain itu Rahmad Isahak dari Kongres Melayu Pulau Pinang juga keluar dari DAP.

Apabila Zulkifli, bekas naib pengerusi DAP dan ahli 26 tahun parti itu 'memberontak' bersama-sama Rahmad, mereka ini pastinya akan memomokkan perkara yang tidak enak didengar mengenai DAP.

Ini terutamanya dalam hal-hal melibatkan Melayu, sekali gus mendalamkan perasaan kebencian orang Melayu terhadap DAP.

Namun, lebih menarik apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah mendedahkan dilema DAP dalam mengambil tindakan mahkamah ke atas akhbar milik Umno Utusan Malaysia kerana ia memberikan kesan buruk terhadap Pakatan Rakyat berkaitan sentimen Melayu.

Memetik kata-kata Guan Eng dalam senario DAP menyaman Utusan Malaysia:

"Kita hanya boleh lakukan yang terbaik... jika kami menang, orang akan menganggap kami menzalimi akhbar Melayu,".

Maknanya, Guan Eng cukup sedar bahawa DAP tidak mampu untuk mencapai cita-citanya menawan Putrajaya tanpa sokongan masyarakat majoriti negara ini.

Dilema krisis dalaman
Beliau juga khuatir kalau-kalau tindakan DAP itu menjejaskan peluang dua rakan sekutunya dalam Pakatan untuk menawan undi orang Melayu.

Justeru, sebagai parti yang memperjuangkan semua bangsa termasuk Melayu dan ketika usaha menawan Putrajaya semakin menghampiri kejayaan, DAP sepatutnya lebih sensitif dengan berhenti dari mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan yang difikirkan mampu menghiris hati dan perasaan orang Melayu.

Ketika masyarakat Cina memberikan sokongan padu hampir 97 peratus undi kepada Pakatan terutama DAP pada PRU ke-13 lalu dan realitinya masih belum cukup menjayakan rancangan menawan Putrajaya, seharusnya DAP sebagai komponen dalam pakatan itu memilih untuk tidak lagi dilihat sebagai parti berteraskan Cina semata-mata.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang, dengan 'keakraban' dalam Pakatan yang semakin goyah kesan daripada pemilihan PAS pada 22 November ini (nantikan ulasan seterusnya) dan suasana semasa dalaman PKR, menyebabkan DAP tidak ada jalan lain selain memikat lebih ramai pengundi Melayu.

Ini mesti dilakukan walaupun berada dalam dilema untuk menghadapi krisis dalaman yang tidak pernah selesai.


AMRAN AHMAD anak kepada allahyarham Ahmad Nor, bekas naib pengerusi dan ahli seumur hidup DAP sejak 2009. Amran melihat slogan "Berani Ubah" mesti bermula dari dalam parti itu sendiri.