Thursday, January 24, 2013
Men don't follow titles, they follow COURAGE....how many are men enough?
Merasa terpanggil untuk menulis artikel ini berdasarkan tajuk di atas, untuk tujuan pencerahan minda sesiapa yang terdaya merungkainya sekaligus menajamkan semula skill menulis yang sekian lama tidak terasah sejak tidak lagi menceburi bidang penulisan sejak sekiannya.
Ungkapan ini dipopularkan menerusi filem Braveheart tahun 1995 lakonan Mel Gibson, salah satu dialog dalam filem berkenaan yang berjaya memecahkan rekod box-office di banyak negara dan kekal segar diingatkan sehingga hari ini oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri.
Dalam konteks semasa, pada pendapat penulis, ungkapan di atas tidak lagi relevan untuk diperkatakan atau menjadi mainan lidah mana-mana pihak kerana berapa ramai yang sanggup untuk berjuang atas prinsip dan pendirian selain akur, takut dan gementar dengan sergahan serta ugutan mereka yang berkuasa atau memegang jawatan.
Dalam pengalaman peribadi penulis sendiri, dalam mana perjuangan menuntut pengekalan hak dan manfaat pekerja Utusan Melayu sehingga melalui proses perbicaan kes buang kerja sejak tahun 2009 dan bekerja sebagai pegawai khas seorang ketua menteri, ungkapan di atas tidak pernah langsung memainkan peranan kerana manusia hari ini atau pada bila-bila masa, saya anggap, tidak berani menentang arus dan mengikut arahan pemegang jawatan walaupun tercetusnya galakan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
Walaupun ramai yang menyokong secara senyap atau bersimpati dalam hati tetapi ianya tidak dilafaz atau diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang akhirnya membuatkan mereka yang memegang kuasa semakin ganas dalam tindakannya dan berbuat sesuka hati demi kepentingan sendiri tanpa langsung memikirkan kesan dan penangan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lawannya.
Apa yang berlaku atau kita di'ajar'kan untuk menjadi pak turut dan hanya mengangguk serta kalau boleh kipas boss untuk menikmati imbuhan tambahan atau setidak-tidaknya mengekalkan kedudukan agar terus 'bernyawa'.
Yang lemah menjadi semakin lemah kerana takut terus menjadi lemah apabila pihak berkuasa, walaupun lazimnya adalah minoriti, terus menggunakan kuasa yang ada untuk melemahkan mereka yang menunjukkan keberanian ini.
Akibatnya, proses kematangan minda menguncup, keadilan tidak dapat ditegakkan serta yang berkuasa serta kaya akan terus menjana pertambahan kuasa dan kekayaan masing-masing dan apabila ianya terjadi, dalam jangka masa panjang, mana-mana pihak tidak boleh dipersalahkan untuk kewujudan jurang kaya miskin yang terlalu melebar dan penyakit sosial yang semakin menggila menuju kehancuran umat manusia sejagatnya.
Justeru, ungkapan yang lebih sesuai untuk zaman semasa ialah - Umpama durian dengan mentimun, menggolek binasa, kena golek pun binasa yang membawa maksud orang yang lemah atau tidak mempunyai kuasa, khusus untuk mereka-mereka yang tunduk, akur segalanya atau dalam bahasa yang lebih ringkas ialah pengecut, penakut dan 'takde telur'.
Walaupun ada juga yang berani.....namun tanyalah berapa ramai men enuf?
Subscribe to:
Posts (Atom)