Tuesday, November 12, 2013

Isu UiTM: Popular dalam DAP tapi jarakkan Melayu

Isu UiTM: Popular dalam DAP tapi jarakkan Melayu

 
Tatkala ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim mencadangkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijadikan universiti diraja bagi mengekalkan peranannya mendidik generasi muda Bumiputera, ahli DAP yang juga graduan UiTM Dyana Sofya Mohd Daud bangkit membangkang keras.

Setiausaha politik kepada ahli Parlimen Gelang Patah itu juga orang yang sama, pada September tahun lalu, menggesa kerajaan membuka penyertaan ke dalam institusi yang bertujuan membantu pelajar Bumiputera, khususnya dari luar bandar, kepada semua kaum.

Tindakan Dyana ini secara tidak langsung menggambarkan hasrat DAP untuk membuka penyertaan pelajar ke institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera khususnya dari luar bandar kepada semua kaum apabila menawan Putrajaya.

Tindakan Dyana juga menjadikannya cukup popular di kalangan ahli-ahli dan pimpinan DAP dengan pembawaan imej dan identiti bangsa Malaysia, tetapi pada masa yang sama, semakin menjarakkan DAP untuk menarik sokongan lebih ramai pengundi Melayu.

Sebenarnya, tindakan ini salah satu daripada banyak lagi kenyataan pimpinan atasan DAP sebelum ini yang secara langsung mengguris hati orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.

Antara yang paling ketara ialah keengganan beberapa pimpinan atasan DAP untuk menerima gelaran dari raja-raja Melayu.

Ia sekali gus mencerminkan DAP sebagai sebuah parti yang tidak menghormati institusi beraja di negara ini walaupun semua pihak cukup sedar dan raja-raja Melayu adalah simbol utama perpaduan dan kekuatan sebahagian besar orang Melayu di Malaysia.

Sensitiviti Melayu
ADUN DAP sendiri, Ng Suee Lim pernah menggesa DAP untuk mengkaji semula peraturan tidak bertulis yang tidak menggalakkan ahli menerima pingat dan darjah kebesaran istana bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap DAP sebagai parti yang anti Melayu.

Itu belum termasuk kecenderungan dan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini yang menyebut bahawa tindakan mahkamah akan diambil terhadap Sultan Perak dalam tragedi pertukaran kerajaan negeri.

Ini selain insiden yang membabitkan keengganan beberapa wakil rakyat DAP untuk memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Darul Takzim.

Walaupun tindakan Karpal itu tidak bersifat perkauman dan atas nama keadilan, namun sensitiviti orang Melayu perlulah diambil kira, dijaga.

Semua pihak sepatutnya menghormati budaya dan adat-resam pemakaian semasa acara-acara rasmi yang melibatkan kehadiran sultan.

Orang Melayu secara umumnya tidak dapat menerima provokasi ke atas raja-raja Melayu yang disifatkan sebagai lambang kekuatan agama Islam dan bangsa Melayu sejajar dengan peranannya sebagai Ketua Agama Islam dan bertanggungjawab dalam memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Manakala songkok pula, sebagai pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri upacara rasmi seperti upacara perkahwinan, solat Jumaat, upacara keagamaan, sewaktu menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban di kalangan orang Melayu, menggambarkan dekatnya di hati orang Melayu.

640,000 Melayu di Pulau Pinang
Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan DAP tidak mencalonkan walau seorang pun ahli Melayu sebagai calon bagi kerusi DUN Pulau Pinang pada pilihan raya umum (PRU) lalu sedangkan terdapat 640,000 Melayu di Pulau Pinang.

Ini terus menjadi buah mulut dan bahan jajaan pihak musuh sehingga hari ini.

Kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi DAP berpotensi untuk menang dalam PRU yang lalu dan seharusnya beberapa kerusi diberikan kepada calon Melayu sebagai menghantar suara Melayu di kalangan DAP pada persidangan DUN.

DAP tidak harus sekadar mengharapkan wakil Melayu di kalangan PKR dan PAS semata-mata.

Semua kenyataan dan tindakan ini telah, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan sedikit sebanyak mengguris hati orang Melayu.

Dan sentimen seperti ini pastinya tidak baik untuk DAP dalam usahanya untuk menangkis atau setidak-tidaknya membuang 'luka' di hati orang Melayu.

Tindakan sedemikian juga, difahamkan, sedikit sebanyak menjurus kepada tindakan Zulkilfi Mohd Noor menyifatkan Melayu sebagai bernilai hanya 50 sen dalam DAP dan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Momokan-momokan mengenai DAP
Selain itu Rahmad Isahak dari Kongres Melayu Pulau Pinang juga keluar dari DAP.

Apabila Zulkifli, bekas naib pengerusi DAP dan ahli 26 tahun parti itu 'memberontak' bersama-sama Rahmad, mereka ini pastinya akan memomokkan perkara yang tidak enak didengar mengenai DAP.

Ini terutamanya dalam hal-hal melibatkan Melayu, sekali gus mendalamkan perasaan kebencian orang Melayu terhadap DAP.

Namun, lebih menarik apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah mendedahkan dilema DAP dalam mengambil tindakan mahkamah ke atas akhbar milik Umno Utusan Malaysia kerana ia memberikan kesan buruk terhadap Pakatan Rakyat berkaitan sentimen Melayu.

Memetik kata-kata Guan Eng dalam senario DAP menyaman Utusan Malaysia:

"Kita hanya boleh lakukan yang terbaik... jika kami menang, orang akan menganggap kami menzalimi akhbar Melayu,".

Maknanya, Guan Eng cukup sedar bahawa DAP tidak mampu untuk mencapai cita-citanya menawan Putrajaya tanpa sokongan masyarakat majoriti negara ini.

Dilema krisis dalaman
Beliau juga khuatir kalau-kalau tindakan DAP itu menjejaskan peluang dua rakan sekutunya dalam Pakatan untuk menawan undi orang Melayu.

Justeru, sebagai parti yang memperjuangkan semua bangsa termasuk Melayu dan ketika usaha menawan Putrajaya semakin menghampiri kejayaan, DAP sepatutnya lebih sensitif dengan berhenti dari mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan yang difikirkan mampu menghiris hati dan perasaan orang Melayu.

Ketika masyarakat Cina memberikan sokongan padu hampir 97 peratus undi kepada Pakatan terutama DAP pada PRU ke-13 lalu dan realitinya masih belum cukup menjayakan rancangan menawan Putrajaya, seharusnya DAP sebagai komponen dalam pakatan itu memilih untuk tidak lagi dilihat sebagai parti berteraskan Cina semata-mata.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang, dengan 'keakraban' dalam Pakatan yang semakin goyah kesan daripada pemilihan PAS pada 22 November ini (nantikan ulasan seterusnya) dan suasana semasa dalaman PKR, menyebabkan DAP tidak ada jalan lain selain memikat lebih ramai pengundi Melayu.

Ini mesti dilakukan walaupun berada dalam dilema untuk menghadapi krisis dalaman yang tidak pernah selesai.


AMRAN AHMAD anak kepada allahyarham Ahmad Nor, bekas naib pengerusi dan ahli seumur hidup DAP sejak 2009. Amran melihat slogan "Berani Ubah" mesti bermula dari dalam parti itu sendiri.

Thursday, September 26, 2013

Genap 4 tahun: Dari Utusan kepada DAP

Pejam celik pejam celik, 3 September, yakni kelmarin, genap empat tahun saya dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) susulan keputusan bersalah atas dakwaan memfitnah syarikat ekoran aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Walaupun bersuara atas kapasiti sebagai Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu dengan bersandarkan pada kenyataan yang dihamburkan kepada portal berita Malaysiakini dan Harakahdaily, saya dibuang kerja sebagai wartawan akhbar Utusan Malaysia.

Perjuangan saya dalam membela ahli-ahli NUJ Utusan dalam kaedah bukan tradisional ini ternyata 'memakan diri' apabila karier selama hampir 10 tahun dalam kewartawanan arus perdana itu dinyah hapuskan dalam sekelip mata, lebih menyedihkan lagi apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatannya.

Sejak tarikh keramat empat tahun yang lalu itu yang merubah haluan hidup saya daripada wartawan sebuah akhbar arus perdana yang cukup kontroversi itu kepada keterlibatan secara aktif dan separa aktif dalam dunia politik, sesuatu yang tidak pernah diimpikan apatah lagi untuk dihadapkan setiap hari.

Pada masa yang sama, saya dengan penuh kesabaran menantikan kes buang kerja di Mahkamah Perusahaan yang difailkan pada tahun 2010 dengan nombor kes 23(9)/4-1143/10 akan melaksanakan fungsi asasnya untuk memberi keadilan kepada mereka yang terlibat, di mana soal menang atau kalah bukan lagi menjadi perkara pokok, sebaliknya keadilan buat 'mangsanya'.

Segala-galanya bermula saya menerima panggilan daripada tokoh veteran politik negara, Lim Kit Siang yang saya kenali sejak sekian lama menerusi hubungan akrab antara arwah bapa, Allahyarham Ahmad Nor dengan beliau dalam perjuangan politik merentasi sempadan bersama DAP.

Sejujurnya, hubungan sebelum 3 September 2009 antara saya dan Kit Siang tidak lebih daripada kenalan politik dengan kedua-dua kami menghormati pendirian dan karier masing-masing walaupun berada dalam landasan yang cukup berbeza namun masih boleh ditemu ramah dan menemu ramah dalam suasana yang cukup harmoni.

Cukuplah tak benci DAP
Bermula dari pertemuan pertama yang menjuruskan saya kepada kendalian lidah rasmi parti, Roket berbahasa Melayu dan kemasukan 'bebas' gegak gempita ke dalam DAP sebagai ahli di cawangan Damansara, saya terus menerima kepercayaan daripada parti terutama Kit Siang untuk bertugas sebagai pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tugas saya ketika itu, selain terus cuba untuk - bukan bermatlamat ke arah Melayu sokong DAP, cukuplah untuk tidak membenci DAP - menerusi Roket, ialah mengendalikan hal-ehwal masyarakat Melayu di pulau kelahiran saya itu dalam suasana penuh mencabar.

Mencabar kerana penerimaan anak bangsa saya sendiri terhadap DAP pada ketika itu yang cukup rendah ekoran persepsi cauvanis yang sekian lama tertanam di minda dan hati mereka.

Selaku pegawai khas kepada seorang ketua menteri yang cukup sendat dengan pelbagai kontroversi saban hari sejak menjawat kerusi panas itu pada 2008, saya melakukan tugas-tugas yang seperti diarahkan dan bebas untuk membuat keputusan asalnya sejajar dengan nawaitu untuk meringankan beban rakyat.

Memilih untuk 'bekerja' di balik tabir tanpa terlalu kerap 'ditayangkan' di dada-dada akhbar mahupun portal berita, saya lebih suka untuk mendampingi rakyat negeri ini terutama masyarakat Melayu secara low-profile sejajar dengan matlamat untuk membantu mereka, bukan meriak diri atau menunjuk kehebatan yang sebenarnya tiada.

Berdepan dengan hakikat perjuangan Melayu Pulau Pinang yang sekian lama menjadi isu yang sentiasa menarik untuk diperkatakan, saya agak bernasib baik kerana mendapat kerjasama rakan-rakan PKR dan PAS untuk mendampingi masyarakat Melayu di Pulau Pinang sekali gus menyelami serta menyelesaikan masalah mereka semampu yang boleh.

Tempoh bertenang
'Keseronokan' dengan cabaran tugas-tugas baru tersebut walau bagaimanapun hanya bersifat seketika setelah ianya dimamah oleh kerakusan politik pejabat yang menyebabkan saya akhirnya melepaskan jawatan tersebut dan memutuskan untuk kembali ke Kuala Lumpur meneruskan kerja-kerja penulisan bebas.

Di Kuala Lumpur, saya mengalami tempoh 'bertenang' dan bermuhasabah diri mengenai keterlibatan dalam dunia politik terutama pembangkang bernama DAP pasca pilihan raya umum ke-13 dan menuju 14 dalam suasana politik negara hari ini yang cukup berbeza jika dibanding dengan suasana politik arwah bapa.

Akhirnya, dengan tekad, azam dan keperluan untuk meneruskan legasi perjuangan arwah bapa dan perjuangan bangsa Malaysia, saya mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September ini.

Walaupun menerima galakan serta sokongan padu rakan-rakan yang juga ahli DAP terutama yang mengenali arwah bapa, apakan daya jika DAP telah memutuskan untuk tidak menerima pencalonan baru untuk saya yang akan menggunakan nama rasmi - Amran Ahmad Nor ini jika berpeluang untuk menempatkan diri dalam majlis tertinggi parti itu.

Dalam pada itu, ada juga di kalangan sahabat handai serta rakan media yang bertanya "Kenapa hanya sekarang?", maka jawapan saya cukup mudah iaitu kerana sekarang wujudkan keperluan untuk berbuat demikian setelah melihatkan keputusan CEC yang lalu terutama kekalahan semua calon Melayu dan keyakinan yang kian menebal setelah mengharungi sepak terajang politik kepartian dalam tempoh empat tahun ini.

Bagi saya, perjuangan politik ini, bak kata saudara Lim Kit Siang dalam pertemuan 'rasmi' kami suatu masa dahulu, adalah suatu proses yang cukup panjang dan dalam hal ini, kita tidak perlu tergesa-gesa atau begitu rakus untuk mencari populariti segera semata-mata, sebaliknya, bertindak secara rasional tanpa emosi keterlaluan berasaskan asas perjuangan yang sebenar.

Pada masa yang sama, saya turut berharap penangguhan kes buang kerja oleh Mahkamah Perusahaan kepada bulan Oktober ini akan sampai ke akhirannya setelah 4 tahun menunggu, menanti dan melayan pelbagai 'karenah' sistem perundangan dan guaman negara.

Tuesday, September 3, 2013

DAP tolak tuah abai pencalonan Amran Ahmad

Read more at: http://www.astroawani.com/videos/show/buletin-awani/dap-tolak-tuah-abai-pencalonan-amran-ahmad-14296?cp

Thursday, January 24, 2013

Men don't follow titles, they follow COURAGE....how many are men enough?

Merasa terpanggil untuk menulis artikel ini berdasarkan tajuk di atas, untuk tujuan pencerahan minda sesiapa yang terdaya merungkainya sekaligus menajamkan semula skill menulis yang sekian lama tidak terasah sejak tidak lagi menceburi bidang penulisan sejak sekiannya. Ungkapan ini dipopularkan menerusi filem Braveheart tahun 1995 lakonan Mel Gibson, salah satu dialog dalam filem berkenaan yang berjaya memecahkan rekod box-office di banyak negara dan kekal segar diingatkan sehingga hari ini oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri.
Dalam konteks semasa, pada pendapat penulis, ungkapan di atas tidak lagi relevan untuk diperkatakan atau menjadi mainan lidah mana-mana pihak kerana berapa ramai yang sanggup untuk berjuang atas prinsip dan pendirian selain akur, takut dan gementar dengan sergahan serta ugutan mereka yang berkuasa atau memegang jawatan. Dalam pengalaman peribadi penulis sendiri, dalam mana perjuangan menuntut pengekalan hak dan manfaat pekerja Utusan Melayu sehingga melalui proses perbicaan kes buang kerja sejak tahun 2009 dan bekerja sebagai pegawai khas seorang ketua menteri, ungkapan di atas tidak pernah langsung memainkan peranan kerana manusia hari ini atau pada bila-bila masa, saya anggap, tidak berani menentang arus dan mengikut arahan pemegang jawatan walaupun tercetusnya galakan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
Walaupun ramai yang menyokong secara senyap atau bersimpati dalam hati tetapi ianya tidak dilafaz atau diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang akhirnya membuatkan mereka yang memegang kuasa semakin ganas dalam tindakannya dan berbuat sesuka hati demi kepentingan sendiri tanpa langsung memikirkan kesan dan penangan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lawannya. Apa yang berlaku atau kita di'ajar'kan untuk menjadi pak turut dan hanya mengangguk serta kalau boleh kipas boss untuk menikmati imbuhan tambahan atau setidak-tidaknya mengekalkan kedudukan agar terus 'bernyawa'. Yang lemah menjadi semakin lemah kerana takut terus menjadi lemah apabila pihak berkuasa, walaupun lazimnya adalah minoriti, terus menggunakan kuasa yang ada untuk melemahkan mereka yang menunjukkan keberanian ini.
Akibatnya, proses kematangan minda menguncup, keadilan tidak dapat ditegakkan serta yang berkuasa serta kaya akan terus menjana pertambahan kuasa dan kekayaan masing-masing dan apabila ianya terjadi, dalam jangka masa panjang, mana-mana pihak tidak boleh dipersalahkan untuk kewujudan jurang kaya miskin yang terlalu melebar dan penyakit sosial yang semakin menggila menuju kehancuran umat manusia sejagatnya. Justeru, ungkapan yang lebih sesuai untuk zaman semasa ialah - Umpama durian dengan mentimun, menggolek binasa, kena golek pun binasa yang membawa maksud orang yang lemah atau tidak mempunyai kuasa, khusus untuk mereka-mereka yang tunduk, akur segalanya atau dalam bahasa yang lebih ringkas ialah pengecut, penakut dan 'takde telur'. Walaupun ada juga yang berani.....namun tanyalah berapa ramai men enuf?