Saturday, July 23, 2011

23(9)/4-1143/10 : Lepas 2 Tahun Dibuang Kerja, Baru Mula Bicara


Sekadar peringatan semula, saya dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad pada 2 September 2009. Sehari selepas dibuang, saya terus melaporkan kes ke Jabatan Perusahaan di Menara Perkeso, Jalan Ampang dan seterusnya, melalui pelbagai proses, antara yang utama, perundingan damai dan menunggu kelulusan Menteri Sumber Manusia.

Kemudian, saya dan exco-exco NUJ menghadiri sesi pendengaran atau hearing case di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang. Dan kini tibalah masa yang saya tunggu selama ini untuk mendapat keadilan bagi pihak saya dan kesatuan yang saya wakili iaitu perbicaraan kes buang kerja saya, genap 2 tahun selepas tragedi itu berlaku.

Menurut laman sesawang Mahkamah Perusahaan, kes perbicaraan Encik Amran Bin Ahmad Menentang Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, Kod Kes : 4 - Dismissal akan bermula pada 14-10-2011 jam 9:00:00 dan diikuti dengan sesi seterusnya pada 19-10-2011 jam 09:00:00 di Court 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.

Dari sini, saya berharap mendapat keadilan sewajarnya dari Mahkamah negara ini dan dijadikan batu aras kepada perjuangan kesatuan di negara ini terutama NUJ dalam mempertahankan hak ahli-ahli, menjadi whistle-blower dan yang paling penting, tidak takut untuk dibuang kerja kerana berjuang.