Tuesday, March 2, 2010

Genap 6 bulan dibuang kerja Utusan Melayu


Hari ini genaplah 6 bulan saya dibuang kerja sebagai wartawan sejak 3 September 2009 bergelar penganggur. Dalam masa enam bulan ini saya cuba mencari pelbagai kerja tetap walaupun peguam yang mewakili saya menasihatkan saya tidak bekerja tetap kerana ini akan mengganggu kes tuntutan di Mahkamah Perusahaan. Saya perlu mendapatkan pekerjaan kerana ini sangat penting bagi kehidupan berkeluarga dengan anak kecil 2 orang.

Namun, pencarian tersebut belum menampakkan sebarang hasil setakat ini. Saya kini telah menghadiri 5 temuduga namun segala-galanya berakhir dengan saya menerima surat DUKACITA DIMAKLUMLAN......apapun keputusannya, saya tidak boleh berhenti mencari pekerjaan tetap sementara membuat pekerjaan freelance buat masa ini seperti terjemahan, penulisan pendek berita dan rencana untuk mana-mana organisasi dan sebagainya bagi menyara kehidupan yang lebih memeritkan kebelakangan ini.

Episod yang panjang

Berkenaan dengan kes saya untuk ke Mahkamah Perusahaan pula, saya dimaklumkan oleh pegawai di Jabatan Perhubungan Industri di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bahawa setelah rundingan damai antara saya dengan Utusan Melayu (M) Berhad menemui jalan buntu, maka pegawai berkenaan akan menyerahkan laporan kepada panel di KSM Kuala Lumpur sebelum dipanjangkan ke KSM Putrajaya dan selepas itu ke menteri yang terbabit untuk membuat keputusan sama ada ke mahkamah atau tidak.

Proses ini, katanya, akan mengambil masa yang panjang, episod yang mungkin memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya. Nasihat pegawai berkenaan kepada saya cuma sama seperti tindakan saya selama 6 bulan ini iaitu mencari pekerjaan tetap.

Melangkah ke hadapan

Justeru, apa yang saya boleh buat sekarang ialah berusaha untuk mencari pendapatan tidak mengira apa jua pekerjaannya selagi tidak menyalahi undang-undang. Ada ramai kawan-kawan yang datang menghulurkan bantuan sama ada berunsurkan sumbangan wang ringgit, job atau idea untuk mendapatkan wang. Terima kasih saya ucapkan kepada semua.

Saya minta kawan-kawan doakan saya sepanjang perjalanan ini agar saya tidak rebah di pertengahan jalan dan terus bangkit meneruskan kehidupan ini. InsyaAllah, dengan doa rakan-rakan, saya mampu mengharungi pahit-getir kehidupan ini setelah diuji dengan dugaan yang cukup besar selepas berjuang demi kawan-kawan di Utusan Melayu.