Tuesday, July 3, 2012
Semakin turun suhu PRU 13, semakin panas BN/PR
Ketika suhu pilihanraya umum (PRU) ke-13 semakin memuncak hari demi hari, Mahathir Mohamad pula dipetik sebagai berkata, Najib Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya.
Saranan bekas Perdana Menteri (gambar kiri) itu boleh dilihat sebagai persetujuan ke atas hasrat Perdana Menteri semasa yang menegaskan bahawa kerajaan BN berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008.
Dalam reaksi segeranya, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menempelak Najib dengan berkata, secara tidak rasminya, Najib tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.
"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Mahfuz lagi.
Perkembangan ini pastinya menambah keresahan ahli-ahli politik sama ada dari BN mahupun Pakatan Rakyat (PR) yang ternanti-nanti "pertempuran" yang menjanjikan seribu satu kemungkinan, sama ada terus berkuasa atau sebaliknya.
Terdapat laporan dan cakap-cakap kedai kopi yang menyebut sebelum ini di kalangan pemimpin BN yang "letih" dan "penat" dengan ugutan berterusan daripada kumpulan tertentu, berhadapan ancaman daripada pelbagai pihak termasuk ahli perniagaan dan kesatuan.
Kebanyakan mereka termasuk menteri-menteri pusat, menteri besar, ketua menteri dan exco-exconya berada di bawah tekanan untuk memberikan kontrak, lesen, kebenaran, permit AP dan sebagainya ekoran ketidak tentuan dan kepastian mengenai tampuk kuasa dan ketidak senangan pihak tertentu jika kontrak-kontrak tertentu dilaksanakan.
Jika menteri dan pembesar-pembesar ini dilihat enggan melaksanakan permintaan pemimpin berpengaruh dan kumpulan tertentu, mereka mungkin akan kehilangan sokongan dan tewas kepada kepada BN ataupun PR.
Keresahan ahli-ahli politik dari kedua-dua pakatan turut dikongsi oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang turut meminta Najib untuk menyegerakan PRU ke-13 bagi mengelakkan ketidaktentuan kepada banyak industri.
Spekulasi berterusan dan penangguhan berkenaan PRU akan menyebabkan pihak industri turut merasakan tempias dalam membuat keputusan, kata Presiden FMM, Yong Poh Kon.
Secara logiknya, BN pastinya mahu menangguhkan selama mungkin PRU kerana kedudukan yang tidak seteguh dahulu ekoran peningkatan tahap sokongan dan dambaan kepada pimpinan PKR, PAS dan DAP serta rekod pimpinan lampau yang cukup menyakinkan dan memberangsangkan terutama di Selangor dan Pulau Pinang.
Selepas PRU 2008, PR tidak perlu lagi berasa segan sebaliknya boleh mendabik dada kerana bukan lagi mampu untuk mencatatkan kemenangan kerana para pengundi menolak BN, sebaliknya tersenyum lebar meraih kemenangan disebabkan lebih ramai rakyat semakin menyokong mereka.
Dilihat dalam senario am, dalam kekalahan mengejut BN pada 2008, rata-rata kebanyakan pengundi yang memangkah PR bukan kerana mereka sememangnya mahukan PR untuk memerintah negara sebaliknya memberikan undi protes kepada BN.
Undi protes kepada BN ini dibuat kerana keangkuhan pemimpin BN dalam menaikkan harga minyak sesuka hati, khabar-khabar angin penyelewengan dan salah guna kuasa yang berleluasa dan keperkasaan portal berita yang menyajikan berita-berita alternatif berbanding media arus perdana yang rata-rata dikuasai oleh parti pemerintah.
Namun, hari ini, dengan berbekalkan rekod pimpinan cemerlang yang telus, bebas rasuah dan usaha pembahagian kek ekonomi negeri seadanya, PR kini mampu mencatatkan kemenangan atas kekuatan sendiri, bukan lagi sekadar menang atas kelemahan pihak lawan.
Kepada BN pula, pastinya Najib mahu mencipta "kenangan manis" dalam PRU pertama pimpinannnya dengan mengambil masa selama mungkin sebelum mengumumkan tarikh PRU ekoran dalam keadaan sekarang yang mana BN hanya mampu menang mudah dan tidak mampu memperolehi kemenangan majoriti dua per tiga seperti yang diinginkan.
Justeru, langkah menangguhkan lagi PRU akan membuka ruang seluas-luasnya untuk beliau dan barisan pimpinan BN untuk mencetuskan "suasana selesa" menerusi pembentangan Bajet 2013 pada bulan September akan datang selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua yang cukup menyentuh hati sanubari rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar.
Bila dan apapun tarikh serta keputusan PRU ke-13, pertembungan dua "singa" ini pasti akan menjanjikan seribu satu kegembiraan dan kedukaan kepada pihak yang menang dan kalah nanti, namun apa yang lebih penting ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk semua kaum dan segmen ekonomi masyarakat.
*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.
http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13212
Monday, May 21, 2012
POSTPONE 2.0
Merujuk posting sebelum ini, saya menentang Utusan Melayu (M) Berhad dalam kes buang kerja serta-merta yang semakin menghampiri ulang tahun ke-3 ditangguhkan lagi. Peguam saya menelefon untuk memaklumkan bahawa kes ini ditangguhkan atas alasan isteri peguam syarikat mengalami masalah kesihatan. Untuk makluman semua, kali pertama ditangguhkan adalah kerana saksi syarikat melangsungkan perkahwinan.
Saya diberikan amaran beberapa kali oleh pihak kesatuan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes masih dalam perbicaraan, justeru, apa yang saya termampu lakukan ialah mengeluh dan berdoa agar kes ini berjalan dengan baik dan mengikut jadual tanpa wujudnnya alasan-alasan yang saya rasakan sebagai pelik dan terlalu tidak logik bagi orang yang cetek pengetahuan guaman seperti saya.
Tarikh seterusnya perbicaraan ini tidak saya ketahui buat masa ini.....
Tuesday, May 1, 2012
Encik Amran Bin Ahmad v Utusan Melayu (Malaysia) Bhd Part II
Selepas proses perbicaraan kes saya menentang Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, tertangguh sejak bulan Oktober yang lalu, kini ia akan bersambung semula pada 21 dan 22 Mei ini di Mahkamah 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Y.A. Tuan Rajendran Nayagam.
Saya dapati maklumat ini dari laman sesawang Mahkamah Perusahaan, http://www.mp.gov.my/eicpp/MainServlet?action=check&courtId=26&year=2012&month=5.
Saya cuma berharap agar tiada lagi penangguhan atas sebab-musabab yang tidak munasabah seperti yang berlaku dalam perbicaraan Part I dengan alasan saksi tidak dapat hadir atas sebab perkahwinan dan sebagainya.
Bukan terlalu mengharap, cuma mencari kebenaran dan keadilan setelah dibuang kerja hampir 3 tahun yang lalu dengan begitu kejam lagi ganas di bulan yang mulia bulan Ramadhan walaupun pernah menabur bakti hampir 10 tahun di sana.......
Wednesday, February 22, 2012
Dari kesatuan ke persatuan...

Lama sungguh aku dah tak menulis blog. Bukanlah sibuk sangat, cuma agak sibuk meninjau kerja-kerja kosong yang ada di pasaran setelah menjadi pengganggur hampir setengah tahun. Ada la buat projek itu dan ini bersama kawan-kawan tapi setakat ini satu pun tak nampak sinar lagi. Sabar dan terus bersabar, itu sahaja yang termampu aku buat. Kembali menyara kehidupan dengan menjadi penulis bebas, itu lah kerja semasa, namun ini bukan selamat sangat kerana aliran tunai sering menjadi suatu masalah.
Cuma apa yang baru dalam hidup aku ialah dilantik menjadi Setiausaha sebuah NGO - persatuan penduduk. Persatuan penduduk yang mana biarlah ia menjadi suatu rahsia atas sebab-sebab keselamatan :-). Kerana ianya suatu yang baru, banyak yang aku kena belajar terutama dari segi perlembagaan dan operasi. Apa yang sama dengan kesatuan ialah kedua-dua mempunyai ahli tetapi berbeza sekali dari segi pendekatan dan kelibat AJK yang menganggotainya.
Buat masa ini, tak banyak yang boleh aku kongsikan di sini sebab masih baru, cuma aku sangat excited kerana ianya sesuatu yang baru dan dapat menambah kenalan baru selain rakan-rakan sedia ada di KL ini. Pada masa yang sama, cuba untuk mencari kerjaya baru untuk menyara kehidupan (tak lama lagi anak akan bertambah kepada 3 orang, insyaAllah) dalam apa yang termampu, sesuatu yang baru mungkin.....
Saturday, July 23, 2011
23(9)/4-1143/10 : Lepas 2 Tahun Dibuang Kerja, Baru Mula Bicara

Sekadar peringatan semula, saya dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad pada 2 September 2009. Sehari selepas dibuang, saya terus melaporkan kes ke Jabatan Perusahaan di Menara Perkeso, Jalan Ampang dan seterusnya, melalui pelbagai proses, antara yang utama, perundingan damai dan menunggu kelulusan Menteri Sumber Manusia.
Kemudian, saya dan exco-exco NUJ menghadiri sesi pendengaran atau hearing case di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang. Dan kini tibalah masa yang saya tunggu selama ini untuk mendapat keadilan bagi pihak saya dan kesatuan yang saya wakili iaitu perbicaraan kes buang kerja saya, genap 2 tahun selepas tragedi itu berlaku.
Menurut laman sesawang Mahkamah Perusahaan, kes perbicaraan Encik Amran Bin Ahmad Menentang Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, Kod Kes : 4 - Dismissal akan bermula pada 14-10-2011 jam 9:00:00 dan diikuti dengan sesi seterusnya pada 19-10-2011 jam 09:00:00 di Court 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.
Dari sini, saya berharap mendapat keadilan sewajarnya dari Mahkamah negara ini dan dijadikan batu aras kepada perjuangan kesatuan di negara ini terutama NUJ dalam mempertahankan hak ahli-ahli, menjadi whistle-blower dan yang paling penting, tidak takut untuk dibuang kerja kerana berjuang.
Sunday, June 19, 2011
Kisah Amran Ahmad

Amran Ahmad adalah rakan seperjuangan sewaktu kami sama-sama bertugas di akhbar Utusan Malaysia dulu
Bezanya Amran adalah dari batch yang lebih junior daripada aku ketika itu
Ironinya, Amran merupakan anak bongsu kepada pemimpin Melayu pertama dalam parti DAP, Allahyarham Ahmad Noor
Mungkin disebabkan darah politik arwah bapanya itu, Amran sangat aktif dalam Persatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hingga terpilih menjadi Presiden NUJ cawangan Utusan Melayu
Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo
baru-baru ini Amran atas kapasitinya sebagai pemimpin persatuan tersebut, telah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam pengurusan Utusan Melayu
Dalam laporan bertarikh 25 Jun lalu, Amran melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro setinggi RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.
Sementara dua bulan sebelumnya, Amran mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilang Utusan Malaysia di Perai, Pulau Pinang yang didakwa “terlalu mahal” iaitu RM160 ribu.
disebabkan tidak berpuas hati dengan laporan yang dianggap memfitnah itu, Amran telah diberi surat tunjuk sebab oleh pengurusan syarikat
sebenarnya bukan syarikat saja yang tidak puas hati, malah tindakannya yang dianggap memfitnah dan melampau itu juga tidak disenangi beberapa rakan wartawan lain dalam Utusan Malaysia
malah pernah satu poster di tampal di pejabat itu yang mengaitkan Amran dengan penyusupan ‘ideologi’ DAP, fuh panas betul kes Amran ni
” Aku rasa teraniaya beb, aku bercakap atas kapasiti Presiden NUJ…kenapa pula nak ambil tindakan kat aku, kalau macam itu tak perlulah ada persatuan kalau tak boleh bercakap,” kata Amran panjang lebar pada aku sewaktu kami berbual dalam telefon malam tadi
Sebenarnya aku tidak memihak siapa-siapa dalam hal ini, Amran mungkin betul, Utusan mungkin salah dan begitulah sebaliknya
namun kita pun sedar bila bekerja di mana-mana syarikat, antara syarat utama yang perlu dipatuhi adalah menjaga nama baik majikan seperti mana yang tertulis dan termaktub dalam terma perkhidmatan
dalam masa yang sama, bagi aku, ini tidak bermakna majikan tidak boleh ditegur langsung
apa yang berlaku kepada Amran telah banyak berlaku di sekeliling kita
bagi aku, pekerja dan majikan adalah saling perlu memerlukan…dalam hal ini Utusan memerlukan Amran dan Amran juga memerlukan Utusan
sebagai kawan dan sahabat, aku harap perkara ini dapat diselesaikan cara baik kerana cara ‘kekerasan’ baik di pihak Utusan atau Amran tidak akan dapat menyelesaikan masalah.
Oleh : http://syahrilkadir.wordpress.com/2009/07/18/amran-ahmad-ejen-dap-dalam-utusan-melayu/
Monday, April 11, 2011
Kini...Wartawan Malaysia Tidak Sebebas Dahulu Lagi
Cerita media arus perdana dikuasai oleh parti politik tempatan bukan satu rahsia lagi, atau lebih kepada rahsia terbuka atau open secret dengan akhbar-akhbar arus perdana dimiliki oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.
Walaupun akhbar-akhbar arus perdana dikuasai oleh parti-parti pemerintah, namun wartawan itu sendiri menjalankan tugas dengan bebas, yang membawa maksud seseorang wartawan itu bebas untuk menemu bual, melapor atau menulis apa sahaja yang difikirkan wajar untuk dikongsi dengan masyarakat, tidak mengira sama ada cenderung parti pemerintah mahupun pembangkang.
Walaupun wartawan itu menulis berita, dalam proses penerbitan akhbar, yang menentukan sama ada berita itu disiarkan atau tidak bukan wartawan, sebaliknya ditentukan oleh sidang pengarang yang biasanya akan bermesyuarat di petang hari untuk menentukan berita mana yang disiarkan mengikut kesesuaian, masa, tahap kesegeraannya dan pelbagai faktor lagi.
Justeru, isu kebebasan media yang dilaungkan oleh banyak pihak sebelum ini tidak sama sekali diperjudikan oleh mana-mana wartawan, kerana wartawan bebas untuk melaporkan, menulis, menemu bual, bertanya apa jua soalan yang difikirkan sesuai tetapi yang menentukan siaran berita itu ialah sidang para pengarang, bukan wartawan itu sendiri.
Namun hari ini, agak menyedihkan apabila senario tersebut boleh dikatakan berubah hari ini dengan kebebasan wartawan sedikit tercalar apabila wartawan kini tidak sebebas dahulu, wartawan beberapa media arus perdana tidak dibenarkan untuk memasuki sidang akhbar tertentu, datang ke tempat tugasan dengan rasa sangsi dan berbelah, begitu juga nasib yang menimpa wartawan portal berita online.
Telah menjadi rahsia terbuka beberapa kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat hari ini tidak menjemput, ada juga yang menghalang wartawan media arus perdana menyertai sidang akhbar mereka dan terdapat juga kes di mana wartawan dari organisasi dihalau dengan cacian, diherdik dan menerima maki-hamun secara terbuka.
Begitu juga hal yang menimpa wartawan portal berita internet yang sering dikatakan condong kepada pembangkang, kehadiran mereka di majlis-majlis yang dianjurkan oleh parti-parti pemerintah sering disambut dengan pandangan sinis, sehingga ada di kalangan wartawan ini yang segan-silu untuk menyebut nama portal berita yang diwakili mereka.
Tidak kurang juga kes di mana mereka tidak dibenarkan untuk membuat liputan, dihadkan pengeluaran kad media dan tidak dapat layanan sewajarnya untuk proses temu bual atau pertanyaan semasa sidang akhbar.
Menyedihkan, profesion sebagai wartawan itu telah dinodai dengan pandangan dan tanggapan pihak penganjur bahawa para wartawan itu datang ke tempat tugasan dengan niat tertentu, kalau dari media arus perdana dianggap mahu memberi persepsi positif kepada pemerintah dan mengkritik pembangkang dan dari media portal berita internet pula sering dilabel sebagai pro-pembangkang, kebanyakannya.
Justeru, semua pihak harus membuang persepsi ini kerana tugas seseorang wartawan itu pada asasnya ialah untuk mencari berita, menulis berdasarkan setiap patah perkataan yang terkeluar dari mulut pembikin berita dan apa yang yang bakal ditulis selepas itu adalah berasaskan apa jua yang berlaku di tempat tugasan, bukan atas dorongan fahaman politik, emosi atau kesangsian tertentu. Benar, melihatkan senario semasa ini, kebebasan wartawan itu sendiri telah tercalar………
Subscribe to:
Posts (Atom)

