Tuesday, December 11, 2012

Paksi keadilan : Aku benar-benar tidak paham..........

Aku takkan sebut apa-apa yang spesifik dalam entry kali ini cuma sekadar luahan perasaan apa yang berlaku dua hari yang lepas. Bukan berniat untuk mengguris perasaan mana-mana pihak apatah lagi yang berkuasa di luar sana tetapi apa yang berlaku membuka mata sejauh mana proses keadilan di negara ini. Masakan aku diberikan gambaran 'kekalahan' sebelum berperang dan betapa aku perlu takut untuk berdepan dengan syarikat milik parti politik pemerintah sedangkan proses keadilan perbicaraan belum bermula dan apakah dia cuba untuk memberi mesej bahawa dia perlu menjaga periuk nasi beliau sehingga sanggup mengenepikan soal keadilan yang menjadi teras kerjayanya selama ini? Apakah aku tidak tahu atau belum cukup sedar bahawa semasa dalam kesatuan dahulu aku berdepan dengan syarikat yang dikuasai oleh parti politik pemerintah sehingga dia perlu mengingatkan aku bahawa 'lawan' aku di persada keadilan itu adalah mereka-mereka yang paling berkuasa di bumi bertuah Malaysia ini?
Apakah aku tidak sedar bahawa tindakan aku dahulu dalam perjuangan atas platform kesatuan akan menyebabkan aku hilang pekerjaan, menerima kesan sara hidup keluarga dan perkara ini akan dibawa ke medan keadilan untuk dihakimi oleh mereka-mereka yang dilantik oleh mereka-mereka yang berkuasa? Dan yang lebih penting, apakah aku ini cukup bacul untuk menerima tawaran yang sangat-sangat menghina dan meletakkan maruah diri dan kesatuan di tahap terendah dengan terpaksa melutut, menyembah hanya kerana kertas yang tak seberapa itu? Aku juga cukup tidak faham dengan tindakannya yang cukup 'rela', 'teruja' dan 'senang hati' menerima permintaan aku untuk menukar dia kepada orang lain untuk menjadi paksi keadilan walaupun pada mulanya aku takut jika permintaan aku ini bakal mengguris perasaan beliau memandangkan dia memegang kuasa itu? Menurut seorang kawan yang biasa dalam bidang ini, tindakan dia ini adalah asam garam dalam bidang itu. Apakah dia yang sepatutnya menjaga soal keadilan di negara ini tidak takut pada Allah/Tuhan demi mahu menjaga periuk nasi agar terus bertambah dengan kenaikan pangkat.
Dalam berdepan situasi ini, aku cukup menghargai panggilan, sms dan sokongan moral kesatuan yang aku anggotai dan kawan-kawan dengan bukan setakat mempunyai aspirasi yang sama dengan aku dalam hal-hal sebegini, malah turut menghulurkan kesanggupan untuk bersama aku hingga ke garisan penamat. Dah malas nak berharap, akan cuba terus kuatkan semangat dan berdoa agar beliau yang dilantik selepas ini bukan seorang yang PENGECUT lagi PENAKUT untuk mendengar hujah dan membuat keputusan atas paksi keadilan, bukan atas kekuasaan yang diberikan untuk membodek atau membuat keputusan yang menyebelahi pihak yang melantiknya. Hanya masa yang akan menentukan, insyaAllah.................

Saturday, December 8, 2012

Kes lawan Utusan : Debaran Isnin & Selasa ini.......

Masuk bulan ini, genaplah 3 tahun 3 bulan saya dibuang kerja dari Utusan Melayu (M) Bhd setelah didapati 'bersalah' menfitnah syarikat menerusi artikel di portal Malaysiakini dan Harakahdaily yang berkisar mengenai tindakan NUJ dengan saya sebagai pengerusi kesatuan itu, membuat laporan kepada SPRM pada tahun 2009. Saya kena buang kerja tapi pelik sebab Utusan tak nak pulak saman dua portal tersebut sebab 'fitnah' akhbar itu. Seterusnya, saya mengangkat tindakan yang kejam lagi zalim yang diambil oleh bekas majikan saya itu ke perhatian Jabatan Perhubungan Industri yang kemudiannya mendapat perkenan oleh Menteri Sumber Manusia untuk membiarkan Mahkamah Perusahaan Malaysia menentukan keadilan sewajarnya buat diri saya dan bekas majikan itu.
Dan kini, setelah tertangguhnya 2 perbicaraan di mahkamah tersebut iaitu pada bulan Oktober 2011 dan Mei 2012 atas alasan-alasan yang sangat 'munasabah', mahkamah berkenaan akan bersidang semula untuk kes ini pada 10 & 11 Disember ini iaitu Isnin dan Selasa depan untuk membicarakan kes pembuangan kerja saya sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. pada 2009. Dengan Nombor Kes : 23(9)/4-1143/10, perbicaraan akan dijalankan di Court 23, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur mulai jam 9 pagi dengan saya akan diwakili oleh peguam A. Sivanesan. Dengan bakal berdepan pengalaman baru dibicarakan di Mahkamah Perusahaan setelah lebih 3 tahun menunggu, saya berdoa dan berharap agar segalanya-gala akan berjalan dengan lancar.........insyaAllah.